Mangsa banjir Sabah meningkat, 1,619 masih di PPS

Mangsa banjir Sabah meningkat, 1,619 masih di PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di Sabah terus meningkat kepada 883 orang pagi ini dengan keseluruhan 1,619 mangsa masih berlindung di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan, mangsa di negeri itu meningkat kepada 883 orang daripada 295 keluarga setakat pukul 8 pagi tadi berbanding 842 orang daripada 291 keluarga malam tadi.

Banjir ekoran hujan lebat berterusan itu menjejaskan sembilan kampung di tiga daerah iaitu Beaufort, Sook dan Nabawan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sook mencatatkan peningkatan tertinggi dengan 308 mangsa berbanding 281 orang malam tadi diikuti Beaufort yang meningkat daripada 300 kepada 308 orang dan Nabawan daripada 261 kepada 267 orang.

Kesemua mangsa ditempatkan di empat PPS dengan tiada kematian atau mangsa terjejas di luar PPS dilaporkan.

Sementara itu, situasi banjir di Selangor semakin pulih apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 549 orang daripada 171 keluarga pagi ini berbanding 702 orang daripada 217 keluarga petang semalam.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hanya dua PPS masih beroperasi di daerah Kuala Langat.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang menempatkan 535 mangsa manakala Dewan Orang Ramai Kampung Labohan Dagang menempatkan 14 mangsa.

Di Perak, jumlah mangsa kekal 187 orang daripada 54 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS berikutan air di kawasan kediaman mereka belum surut akibat fenomena banjir termenung.

Menurut Sekretariat JPBN Perak, PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai di Manjung menempatkan 129 mangsa daripada 38 keluarga.

Seramai 51 mangsa daripada 13 keluarga pula ditempatkan di Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) manakala tujuh mangsa daripada tiga keluarga di SK Batu Hampar di daerah Larut, Matang dan Selama.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan, Jalan Padang Serai-Beruas masih ditutup kepada kenderaan ringan akibat dinaiki air.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) turut meramalkan ribut petir di semua daerah di Perak pada sebelah petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini