KUALA NERUS: Kaedah penyampaian amaran Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) perlu ditambah baik bagi memastikan isyarat kecemasan dapat diterima dan didengar dengan jelas oleh semua lapisan masyarakat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Menteri Komunikasi dalam pertemuan selewat-lewatnya Jumaat ini, susulan ujian pertama sistem berkenaan yang dilaksanakan serentak di seluruh negara pada pukul 10.10 pagi tadi.
Beliau yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, MySiren merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi bagi memastikan penyampaian amaran kecemasan kepada orang ramai dapat dilakukan dengan lebih pantas.
“Walaupun mungkin tidak semua dapat mendengar dengan jelas, kaedah supaya semua orang dapat mendengar itu akan saya bincangkan dengan Menteri Komunikasi apabila saya bertemu dengannya nanti, selewat-lewatnya Jumaat ini pada mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sama’ Hadis Riyadus Solihin di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini.
Terdahulu, Ahmad Zahid antara penerima notifikasi MySiren ketika ujian pertama sistem itu dilaksanakan, malah beliau dilihat memeriksa telefon bimbit sejurus amaran berkenaan diterima ketika majlis berlangsung.
Mengulas lanjut, beliau mengesahkan menerima notifikasi berkenaan kerana sudah dimaklumkan lebih awal dan membuat persediaan.
Ujian MySiren pada pukul 10.10 pagi itu turut mencetuskan bunyi amaran di dalam dewan berkenaan yang menempatkan hampir 1,000 hadirin.
MySiren mula beroperasi pada 19 November lalu sebagai platform penyampaian amaran kecemasan yang lebih pantas berbanding khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyaksikan Nadma bertindak sebagai pusat penyelarasan pengeluaran mesej amaran. – UTUSAN











