ROM: Ribuan pelajar dan pekerja turun ke jalan raya di seluruh Itali pada Jumaat bagi menuntut peningkatan peruntukan pendidikan dan bantuan menangani kos sara hidup yang semakin melonjak, ketika kehadiran anggota polis dipertingkatkan bagi mengelakkan kemungkinan tercetusnya pertempuran.
Protes di seluruh Itali itu berlangsung selepas beberapa minggu demonstrasi yang diterajui pelajar, termasuk mendirikan khemah dan menduduki bangunan sekolah bagi menyuarakan tuntutan mereka, didorong gerakan sama di negara jiran seperti Perancis serta Sepanyol.
Mogok umum yang dilancarkan Kesatuan Sekerja USB Itali menarik ribuan pekerja menyertai demonstrasi pada Jumaat, termasuk pemandu lori, pemandu teksi dan petani yang mengadakan bantahan sejak beberapa minggu lalu berhubung kenaikan harga bahan api serta menentang peningkatan perbelanjaan pertahanan.
Perarakan diadakan di puluhan bandar di seluruh negara, termasuk Bologna, Genoa, Naples dan Turin, yang menyaksikan beberapa pergelutan kecil antara penunjuk perasaan dengan polis antirusuhan pada awal demonstrasi.
Seorang penuntut universiti, Beatrice Chilelli di Rom memberitahu AFP bahawa golongan pelajar sudah sampai ke tahap tidak mampu bertahan lagi.
“Mereka tidak mampu membayar yuran pengajian yang terlalu tinggi dan sewa rumah yang membebankan ibu bapa mereka,” kata wanita berusia 21 tahun itu sambil merujuk kepada kadar sewa penginapan pelajar di Rom yang boleh mencecah 1,200 euro (RM5,446) sebulan bagi sebuah bilik.
Ribuan peserta berarak dari stesen kereta api utama Termini di tengah Rom, diiringi dua traktor dan sebuah teksi, sebelum melalui kawasan Colosseum sambil mengibarkan bendera, membentangkan sepanduk selain melaungkan slogan menggunakan pembesar suara.
Jurugambar AFP menyaksikan kehadiran anggota polis dalam jumlah besar di luar Kementerian Ekonomi yang dilalui perarakan berkenaan.
“Kami perlukan lebih banyak rumah, bukan bom!” laung sekumpulan peserta, manakala sekumpulan penunjuk perasaan mengadakan persembahan ringkas dengan melakonkan keadaan orang awam yang ketakutan ketika serangan pengeboman di Gaza.
Demonstrasi di Milan turut bermula di stesen kereta api utama sebelum bergerak ke luar bandar, jauh dari kawasan pusat bandar yang menyaksikan sekumpulan anak muda melakukan vandalisme, merompak kedai, merosakkan harta benda dan bertempur dengan polis dua minggu lalu selepas satu lagi demonstrasi berkaitan kos sara hidup yang mendapat kebenaran pihak berkuasa.
Polis antirusuhan mengepung beberapa jalan, tetapi tiada pertempuran besar dilaporkan setakat tengah hari.
Selain pelajar, demonstrasi pada Jumaat turut disertai guru, pekerja dan pesara. Seorang lelaki di Rom membawa sepanduk bertulis ‘Pesara Meluat dan Berang”.
Banyak bendera pro-Palestin turut kelihatan dalam kalangan peserta demonstrasi di bandar-bandar utama.
Menjelang demonstrasi itu, jurucakap gerakan pelajar OSA, Laura Teresi, 18, memberitahu AFP bahawa beliau menjangkakan mobilisasi besar-besaran sehingga menyebabkan sekolah-sekolah lengang. – AFP











