PETALING JAYA: Penghantaran pesawat pejuang ringan FA-50M pertama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Korea Selatan dijangka memperkukuh keupayaan pertahanan ruang udara negara serta kesiapsiagaan operasi pasukan itu.
Pesawat berkenaan tiba di Pangkalan Udara Labuan hari ini untuk transit sebelum meneruskan penerbangan ke Pangkalan Udara Kuantan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyaksikan penghantaran pesawat itu ketika berada di Pangkalan Udara Labuan.
Beliau turut menerima taklimat mengenai keupayaan pesawat FA-50M dan proses penghantarannya di Malaysia daripada Pegawai Memerintah No. 15 Skuadron, Mejar Mohd Jamil Awang TUDM.
Mohamed Khaled kemudian meninjau pesawat berkenaan serta berinteraksi dengan juruterbang yang terlibat dalam penerbangan itu.
Menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF), penghantaran pesawat FA-50M bukan sahaja memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara, malah menjadi pemangkin pembangunan modal insan TUDM menerusi latihan dan penguasaan teknologi penerbangan tempur.
“Usaha itu bertujuan melahirkan generasi juruterbang pesawat pejuang masa hadapan yang berkemahiran tinggi.
“Pesawat berkenaan akan ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan bagi menyokong kesiapsiagaan operasi dan latihan TUDM,” katanya dalam kenyatan hari ini.
MINDEF berkata, perolehan 18 pesawat FA-50M daripada Korea Aerospace Industries (KAI), Korea Selatan, bernilai hampir RM4 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) merupakan sebahagian daripada usaha pemodenan aset TUDM.
“Baki 17 pesawat dijadualkan diterima secara berperingkat sehingga 2028.
“Inisiatif itu selaras dengan Teras 1 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 yang menekankan pengukuhan kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan negara.
“Pemodenan aset yang disokong pembangunan kepakaran anggota akan meningkatkan keberkesanan operasi TUDM dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara serta melindungi kepentingan strategik negara,” katanya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris serta pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pegawai awam. – UTUSAN











