Brazil jadi pintu masuk produk tempatan ke Amerika Latin

Brazil jadi pintu masuk produk tempatan ke Amerika Latin

Pemasaran strategik berasaskan AI mampu memaju produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat pegangan pelaburan tempatan, 10 Cents Capital Sdn Bhd menyasarkan Brazil sebagai pintu masuk untuk memperluas pasaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengeluar tempatan ke rantau Amerika Latin.

Langkah itu dilaksanakan menerusi pendekatan bersepadu yang menggabungkan pemasaran berasaskan kecerdasan buatan (AI), peluasan pasaran antarabangsa dan pemadanan perniagaan ke perniagaan (B2B).

Pengarah 10 Cents Capital, Peter Liew berkata, inisiatif berkenaan bertujuan membantu pengeluar tempatan menembusi pasaran luar negara tanpa dibatasi kekangan bahasa dan jarak geografi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami bermula dari Brazil untuk menghubungkan sektor pembuatan Asia dengan pasaran Amerika Latin.

“Menerusi pelaburan dalam pemasaran AI, perdagangan B2B antarabangsa dan saluran jualan tempatan, kami berhasrat membantu pengeluar tempatan memperoleh pesanan berterusan serta membina jaringan perniagaan yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, syarikat itu mahu memastikan pengeluar yang memasuki pasaran Brazil dapat berkomunikasi menggunakan bahasa tempatan, selain dipadankan dengan rakan niaga bersesuaian bagi membolehkan urus niaga bernilai tinggi dimeterai.

Peluasan operasi di Brazil akan dilaksanakan menerusi anak syarikatnya, VIVAMOMENTO yang bertanggungjawab mengendalikan penyelidikan pelanggan, penembusan pasaran, penyetempatan serta pengukuhan jaringan perniagaan tempatan.

Usaha itu turut didorong hubungan perdagangan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Brazil apabila nilai dagangan kedua-dua negara mencecah RM20.36 bilion (AS$4.46 bilion) pada 2024, sekali gus menjadikan Brazil rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin.

Peter Liew

Dalam memperkukuh strategi berkenaan, 10 Cents Capital menggariskan penggunaan teknologi AI dalam empat bidang utama iaitu penyelidikan pelanggan, penjanaan kandungan pemasaran, penyesuaian bahasa tempatan dan pengurusan maklumat perniagaan secara tersusun.

Pendekatan itu selari dengan unjuran laporan Technology and Innovation Report 2025 oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) yang menganggarkan nilai pasaran AI global meningkat daripada AS$189 bilion (RM766 bilion) pada 2023 kepada AS$4.8 trilion (RM19 trilion) menjelang 2033.

Selain itu, pasaran e-dagang B2B global dijangka mencecah AS$36 trilion (RM146 trilion) menjelang 2026 berdasarkan unjuran Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa (ITA) Amerika Syarikat, dengan pasaran pesat membangun seperti Amerika Latin dan Timur Tengah dijangka menyumbang sebahagian besar pertumbuhan sektor berkenaan.

10 Cents Capital yang ditubuhkan pada 18 Julai 2022 memberi tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang menerusi pelaburan modal, sokongan strategik dan jaringan sumber, dengan fokus merangkumi sektor teknologi digital, e-dagang, perkhidmatan pengguna serta perkhidmatan perusahaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini