TEL AVIV: Ribuan berhimpun di Tel Aviv pada Sabtu bagi menyertai demonstrasi besar-besaran menentang kerajaan, tiga hari menjelang pilihan raya umum yang dilihat secara meluas sebagai referendum terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Protes itu dianjurkan oleh Majlis Oktober, sebuah kumpulan yang ditubuhkan oleh keluarga mangsa dan tebusan yang ditawan kumpulan Palestin pada 7 Oktober 2023, bagi menuntut pihak bertanggungjawab atas kegagalan menghalang serangan Hamas yang mencetuskan perang di Gaza.
Menurut media Israel, perhimpunan itu turut disertai pemimpin empat parti pembangkang utama, termasuk bekas Ketua Turus Tentera, Gadi Eisenkot, yang bersaing sengit dengan Netanyahu dan menerima sambutan hangat daripada orang ramai.
“Tiga hari sebelum pilihan raya, kami akan mengadakan acara kemuncak bagi menandakan tiga tahun perjuangan untuk mendedahkan kebenaran, menuntut pihak bertanggungjawab dan menubuhkan suruhanjaya siasatan negara,” tulis Majlis Oktober di X sebelum perhimpunan itu.
Tinjauan terbaharu yang diterbitkan sebelum tempoh larangan menyiarkan tinjauan berkuat kuasa pada malam Jumaat menunjukkan bahawa kedua-dua blok tidak akan memperoleh majoriti kerusi di Parlimen Israel.
Tinjauan yang diterbitkan penyiar awam KAN mendapati daripada 120 kerusi Parlimen Israel, sebanyak 52 dijangka dimenangi blok Eisenkot dan 50 lagi blok Netanyahu, manakala selebihnya akan menjadi milik parti yang tidak berpihak kepada mana-mana blok, termasuk parti Arab.
Wartawan AFP melaporkan ribuan orang berarak dari Dataran Rabin di pusat bandar menuju ke Dataran Tebusan, yang sebelum ini menjadi tumpuan protes antikerajaan bagi menuntut pembebasan mereka yang ditahan di Gaza.
“Sesiapa yang memimpin kami sejak empat tahun lalu (sejak kerajaan Netanyahu mengambil alih kuasa pada penghujung 2022) telah melakukan tugas yang amat buruk,” kata Hadas Feuershtein, 68, kepada AFP sejurus sebelum perhimpunan bermula.
“Israel tidak pernah berada dalam keadaan seperti sekarang,” tambahnya.
Menjelang perhimpunan itu, Majlis Oktober memaklumkan pihak penguat kuasa mengenai kemungkinan berlaku provokasi oleh kumpulan yang menyokong kerajaan.
Polis Israel berkata pada petang Sabtu bahawa pihaknya menahan seorang suspek kerana menyerang pasukan keselamatan seorang tokoh awam di Tel Aviv.
Media Israel mengenal pasti sasaran serangan itu sebagai bekas Perdana Menteri yang juga pemimpin parti pembangkang, Naftali Bennett.
Perhimpunan itu berlangsung selepas bertahun-tahun masyarakat sivil dan parti pembangkang Israel berkempen untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat kegagalan keselamatan yang membawa kepada serangan 7 Oktober.
Kerajaan Netanyahu enggan menubuhkan badan bebas sedemikian, meskipun Israel lazimnya menubuhkan suruhanjaya seumpamanya pada masa lalu untuk menyiasat kegagalan besar di peringkat negara haram itu. – AFP/AGENSI











