UniSZA aktif Bilik Gerakan Banjir 24 jam

UniSZA aktif Bilik Gerakan Banjir 24 jam

Dr. Fadzli Adam, VC Unisza
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir yang beroperasi 24 jam bermula 16 November lalu bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar di dalam serta luar kampus terjamin sepanjang musim tengkujuh.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr .Fadzli Adam berkata, universiti itu mengambil langkah proaktif melalui penubuhan Jawatankuasa Task Force Banjir yang bertanggungjawab menguruskan sebarang keadaan kecemasan berkaitan bencana berkenaan.

“UniSZA akan bertindak pantas membantu memindahkan pelajar yang terlibat banjir ke asrama yang disediakan di kampus Gong Badak dan kampus Tembila, Besut sekiranya rumah sewa mereka dinaiki air,” katanya.

Menurut beliau, pihak universiti turut menyediakan kelengkapan logistik seperti lori, bot, kenderaan berat dan bekalan makanan yang mencukupi sekiranya berlaku banjir.

“Hebahan juga telah disebarkan kepada semua kakitangan dan pelajar supaya mereka dapat melaporkan sebarang insiden banjir atau masalah berkaitan bencana,” jelasnya.

Katanya, dengan adanya Bilik Gerakan Banjir yang beroperasi 24 jam, ia dilihat lebih efisien dalam memastikan kakitangan dan pelajar sentiasa mendapat bantuan yang diperlukan dalam menghadapi cabaran semasa musim tengkujuh ini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN