KUALA TERENGGANU: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus melakar kecemerlangan dalam bidang pendidikan apabila menerima pengiktirafan akreditasi daripada kerajaan Arab Saudi.
Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, dengan pengiktirafan tersebut, pihaknya berharap dapat menarik lebih ramai pelajar dari Arab Saudi, serta memperkukuhkan kerjasama dengan institusi yang berada di negara itu.
Menurutnya, UniSZA optimis kerjasama itu akan membuka peluang untuk pertukaran pengetahuan, penyelidikan bersama dan program mobiliti pelajar yang dapat memperkaya pengalaman akademik serta budaya kedua-dua belah pihak.
“Pengiktirafan ini adalah satu pencapaian penting kepada UniSZA yang menunjukkan komitmen dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi dan memenuhi standard antarabangsa.
“Kami sangat berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Ia adalah bukti usaha keras dan dedikasi semua warga UniSZA.
“Kami sentiasa berkomited untuk terus meningkatkan kualiti pendidikan serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang terbaik,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu beliau dan Atase Kebudayaan Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Dr. Fahad Mohammed Alsehmmeri menerima perkenan untuk sembah menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah selaku Canselor UniSZA.
Mereka menghadap baginda untuk mempersembahkan surat pengesahan akreditasi tersebut di Istana Syarqiyyah di sini.
Terdahulu, delegasi Arab Saudi turut mengadakan perbincangan dan pembentangan bersama wakil Fakulti Bahasa dan Komunikasi dan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam di Bangunan Canselori sebelum meluangkan masa melawat Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA).
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengiktirafan tersebut memberi satu lonjakan motivasi untuk UniSZA terus muncul sebagai pusat pendidikan terulung di peringkat antarabangsa. – UTUSAN










