Guna anjing PDRM periksa pesawat TUDM

Guna anjing PDRM periksa pesawat TUDM

MUHAMAD NORAZLAN ARIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Khidmat anjing pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mungkin akan digunakan secara berkala untuk pemeriksaan menyeluruh di ruang pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan.

TUDM juga telah menubuhkan satu pasukan khas bagi meneliti secara menyeluruh aspek keselamatan serta memperkukuh tatacara dan prosedur keselamatan di setiap pangkalan udara.

Panglima Tentera Udara, Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, perincian berhubung perkara itu masih dalam penelitian dan perbincangan sebelum dimuktamadkan untuk pelaksanaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa orang komander dan mengarahkan Timbalan Panglima Tentera Udara untuk meneliti perancangan berkenaan dengan lebih terperinci.

“Perkara ini amat penting kerana keselamatan pangkalan udara merupakan aspek kritikal yang tidak boleh dipandang ringan, malah menuntut komitmen, kepekaan dan tanggungjawab daripada setiap lapisan warga TUDM,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Muhamad Norazlan berkata, setiap kelemahan, kecuaian atau ketidakpatuhan terhadap prosedur keselamatan tidak boleh diterima dan perlu diberikan perhatian serius. 

Mengulas mengenai tindakan dalaman terhadap tujuh pegawai yang disiasat PDRM susulan penemuan 96.64 kilogram (kg) dadah bernilai RM4.83 juta, beliau berkata, TUDM akan mene­liti perkara itu berdasarkan peruntukan undang-undang dan peraturan perkhidmatan yang berkuat kuasa.

Katanya, hukuman buang kerja atau ditamatkan perkhidmatan boleh diambil tertakluk kepada peruntukan Akta Angkatan Tentera 1972 (Akta 72), selain mengambil kira prosedur serta ketetapan dalaman yang perlu dipatuhi sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau menjelaskan, terdapat beberapa proses dan prosedur tatatertib yang perlu dilalui terlebih dahulu bagi memastikan setiap tindakan yang diambil kelak berlandaskan peraturan serta undang-undang ditetapkan.

“Pada peringkat ini, kita menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan siasatan sehingga selesai. 

“Kita tidak mahu membuat sebarang andaian atau mengambil tindakan secara terburu-buru selagi proses siasatan pihak berkuasa belum dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata, TUDM tidak akan berkompromi sekiranya terdapat mana-mana warga yang didapati melanggar undang-undang atau mencemarkan imej dan integriti perkhidmatan. 

“Sebarang tindakan sewajarnya akan dipertimbangkan mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan ATM setelah fakta serta hasil siasatan diperoleh,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini