Pemimpin parti Arab-Israel iktiraf Hamas sebagai kumpulan pengganas

Pemimpin parti Arab-Israel iktiraf Hamas sebagai kumpulan pengganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BAITULMUQADDIS: Pemimpin sebuah parti utama Arab-Israel secara tidak langsung mengiktiraf Hamas sebagai kumpulan pengganas, perkembangan yang berpotensi membuka laluan kepada partinya menyertai gabungan untuk menyingkirkan Perdana Menteri sementara, Benjamin Netanyahu.

Pesaingnya, Gadi Eisenkot yang berusaha membentuk gabungan parti anti-Netanyahu, menetapkan pengiktirafan Hamas sebagai kumpulan pengganas syarat wajib kepada parti yang mahu menyertai mana-mana kerajaan.

Mansour Abbas, yang mengetuai parti Islam sederhana Raam, membincangkan rang undang-undang yang ditaja bersama oleh partinya bagi menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas berhubung kegagalan keselamatan yang membawa kepada pencerobohan Hamas ke selatan Israel pada 7 Oktober 2023.

Dalam wawancara bersama saluran televisyen Israel, Channel 12 yang disiarkan pada malam Sabtu, pengacara temu bual menunjukkan rang undang-undang itu yang merujuk Hamas sebagai kumpulan pengganas pada skrin komputer dan meminta Mansour membacanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini rang undang-undang yang anda tandatangani. Jadi, apakah maksud rang undang-undang yang anda tandatangani itu,” tanya pengacara berkenaan.

Mansour ketika membaca petikan itu menyebut tentang organisasi pengganas, dan yang mengetuainya ialah Hamas.

“Mentakrifkan Hamas sebagai organisasi pengganas,” jawab Abbas.

Perbualan itu kemudian ditafsirkan secara meluas oleh media Israel sebagai pengakuan daripada Mansour.

Pengerusi Raam, Mansour Abbas, buat pertama kali menyatakan dengan jelas Hamas ialah organisasi pengganas, lapor Channel 12.

“Jadi, mengapa anda menunggu sehingga sekarang?” tanya pengacara berkenaan.

Mansour kemudian berkata, terdapat pelbagai aspek yang perlu dipertimbangkan, termasuk hubungan peribadi, masyarakat Arab di Israel, hubungan dengan rakyat Palestin secara keseluruhan serta cara mereka melihat konflik itu.

“Selain itu, kami juga mahu memastikan pihak lawan politik tidak menggunakan perkara ini sebagai alasan untuk mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap setiap bayi Palestin, setiap wanita Palestin dan seluruh rakyat Palestin,” katanya.

Dua gabungan parti yang majoriti ahlinya terdiri daripada masyarakat Arab Palestin mencatatkan pencapaian luar biasa dalam pilihan raya Oktober lalu yang tidak menghasilkan keputusan muktamad, sekali gus memperoleh hampir satu perenam daripada keseluruhan 120 kerusi parlimen.

Kedua-duanya sebelum ini pernah mengecam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 sebagai tindakan keganasan.

Dalam wawancara yang disiarkan pada Sabtu itu, Mansour sekali lagi menyatakan sokongan terhadap rundingan pembentukan gabungan kerajaan yang diterajui Eisenkot.

“Kami menyokong usaha beliau,” katanya sambil menambah Raam mungkin menyertai gabungan kerajaan baharu itu sejak awal atau pada peringkat kemudian.

“Matlamatnya bukan sekadar membentuk kerajaan untuk menggantikan kerajaan Netanyahu. Matlamatnya adalah membentuk kerajaan bagi tempoh empat tahun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini