YANGON: Serangan udara tentera Myanmar mengorbankan puluhan orang di beberapa kawasan di negara Asia Tenggara itu, termasuk di sebuah lokasi majlis perkahwinan dan sekolah.
Pasukan penyelamat memaklumkan sekurang-kurangnya 21 orang disahkan maut manakala 35 lagi cedera dalam serangan di lokasi majlis perkahwinan di kampung Moe Bye, negeri Shan selatan, pada petang Sabtu.
Pada Khamis, sekurang-kurangnya 20 orang awam termasuk pelajar, sami muda dan guru terbunuh apabila serangan udara menyasarkan sebuah sekolah di kampung In Yon, wilayah Magway di tengah Myanmar, kawasan yang menjadi lokasi aktif kumpulan penentang, menurut Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar dalam buangan.
Kerajaan pimpinan tentera Myanmar belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung serangan itu.
Tentera turut melancarkan serangan udara di bandar Mrauk-U, negeri Rakhine di barat Myanmar, pada petang Sabtu.
Kira-kira pukul 8 malam (waktu tempatan), kawasan kediaman di bandar itu dibom, mengakibatkan lebih 10 orang dilaporkan terbunuh manakala kira-kira 20 lagi cedera.
Kawasan berkenaan berada di bawah kawalan Tentera Arakan (AA), antara kumpulan bersenjata etnik paling kuat yang menentang rejim tentera negara itu.
Serangan udara tentera berlaku hampir setiap hari di seluruh Myanmar sejak rampasan kuasa pada 2021 yang menggulingkan kerajaan awam pimpinan bekas pemimpin negara itu, Aung San Suu Kyi, sekali gus mencetuskan perang saudara berpanjangan.
Kampung-kampung dibakar dan operasi ketenteraan darat dilancarkan di kawasan yang gagal dikuasai tentera, termasuk wilayah di bawah kawalan NUG dan pertubuhan bersenjata etnik.
Serangan terbaharu itu berlaku seminggu selepas Myanmar didapati bertanggungjawab melakukan pembunuhan beramai-ramai atau genosid terhadap etnik Rohingya oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Tindakan keras tentera pada 2017 mengorbankan ribuan orang dan memaksa lebih 700,000 penduduk melarikan diri dari negara itu.
Bagaimanapun, Myanmar menafikan melakukan genosid dengan mendakwa tenteranya bertindak balas terhadap serangan kumpulan bersenjata.
Keputusan itu menandakan kali pertama sesebuah negara didapati melakukan genosid oleh sebuah mahkamah antarabangsa.











