LONDON: United Kingdom (UK) mengenakan sekatan terhadap lima pemimpin kanan tentera Myanmar susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mendapati negara itu bersalah melakukan pembunuhan beramai-ramai (genosid) ke atas etnik minoriti Rohingya.
Keputusan bersejarah itu sekali gus menjadi kes pertama menyaksikan sesebuah negara disabitkan kesalahan jenayah genosid oleh mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan.
Tindakan keras ketenteraan pada tahun 2017 itu meragut ribuan nyawa etnik Rohingya serta memaksa lebih 700,000 penduduk melarikan diri dari Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha.
Langkah UK mengiktiraf keputusan ICJ itu turut disertai beberapa negara lain termasuk Australia, Belgium, Portugal, Sepanyol dan Kanada.
Setiausaha Luar UK, Ed Miliband menegaskan tindakan tegas perlu diambil sejajar dengan nilai kemanusiaan yang diperjuangkan negara itu.
“Tindak balas kita terhadap jenayah yang amat mengejutkan seperti genosid mesti mencerminkan nilai yang kita pegang dan perlu diterjemahkan menerusi tindakan jelas,” katanya.
Lima pemimpin kanan tentera Myanmar yang dikenakan sekatan itu ialah Myo Htut Hlaing, Myo Min Tun, Myat Thet Oo, Kyaw Soe dan Kyaw Swar Oo.
Miliband turut menambah Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing yang pernah dikenakan sekatan oleh UK pada 2021 bertanggungjawab secara langsung terhadap banyak kekejaman yang berlaku memandangkan beliau merupakan ketua tentera ketika tragedi genosid itu tercetus pada 2017.
“Myanmar mesti menghentikan pencabulan yang masih berterusan, menyiasat, mendakwa serta menghukum pelaku dan memastikan kekejaman seperti ini tidak berulang lagi,” ujarnya.
Beliau pada masa sama menggesa gencatan permusuhan serta-merta bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan, penghentian serangan udara ke atas orang awam, pembebasan tahanan politik serta dialog ke arah penyelesaian politik yang inklusif.
Miliband juga mengesahkan undang-undang baharu akan diluluskan bagi menyekat bekalan bahan api penerbangan ke Myanmar, selain memaklumkan UK akan membawa isu tersebut ke Majlis Keselamatan PBB (UNSC) minggu ini selepas mengusir atase pertahanan negara itu minggu lalu.
Terdahulu pada Khamis, panel hakim ICJ menerusi keputusan majoriti sembilan undi berbalas enam memutuskan ‘niat untuk melakukan genosid adalah satu-satunya kesimpulan munasabah yang dapat dibuat berdasarkan bukti dikemukakan’ selain mendapati Myanmar melanggar beberapa peruntukan lain di bawah Konvensyen Genosid 1948. – AGENSI











