PETALING JAYA: Wasco Greenergy Berhad mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM3.2 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, dengan segmen Perindustrian Tenaga dan Peralatan (IEE) terus menunjukkan peningkatan keuntungan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, keuntungan segmen IEE meningkat 16.7 peratus kepada RM3.5 juta berbanding RM3.0 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Keuntungan kasar segmen itu turut meningkat 19.6 peratus kepada RM6.7 juta daripada RM5.6 juta, meskipun hasilnya mencatatkan sedikit penurunan.
Pengarah Urusan Kumpulan Wasco Greenergy, Wong Yin Kee berkata, peningkatan keuntungan segmen IEE sepanjang sembilan bulan pertama mencerminkan nilai kepelbagaian portfolio produk kumpulan.
Beliau berkata, kepakaran kejuruteraan dalam sistem tenaga stim kekal sebagai kekuatan utama syarikat dalam melaksanakan projek sedia ada dan meneroka peluang baharu.
“Kedudukan tunai bersih kami memberikan fleksibiliti kewangan untuk menyokong operasi semasa dan membiayai pengembangan, manakala buku pesanan menyediakan keterlihatan hasil hingga tahun kewangan 2027 dan seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
Bagi suku ketiga, Wasco Greenergy merekodkan hasil sebanyak RM58.8 juta, dengan segmen Tenaga Boleh Baharu (RE) kekal sebagai penyumbang terbesar sebanyak RM48.2 juta.
Segmen IEE pula menjana hasil RM10.6 juta, meningkat enam peratus berbanding RM10 juta pada suku sama tahun lalu, manakala keuntungan kasarnya kekal stabil pada RM3.3 juta.
Bagi tempoh sembilan bulan, kumpulan merekodkan hasil RM173.9 juta dan PBT RM13.7 juta.
Setakat 30 September 2026, kumpulan mempunyai buku pesanan berjumlah RM194.7 juta, dengan kira-kira 94.9 peratus disumbangkan segmen RE dan selebihnya oleh IEE.
Kumpulan menjangkakan kira-kira satu pertiga daripada buku pesanan itu akan diiktiraf sebagai hasil pada suku keempat tahun kewangan 2026, manakala bakinya pada tahun kewangan 2027 dan seterusnya.
Setakat 30 September 2026, kumpulan mempunyai pegangan tunai sebanyak RM117.7 juta dan kekal dalam kedudukan tunai bersih.
Nisbah semasa meningkat kepada 3.5 kali berbanding 2.2 kali setahun lalu, manakala nisbah penggearan bertambah baik kepada 14.2 peratus daripada 26.4 peratus.
Mengulas prospek, Wong berkata, kumpulan kekal optimis terhadap permintaan jangka panjang bagi sistem tenaga stim yang cekap dan mampan, didorong inisiatif penyahkarbonan industri serta keperluan meningkatkan kecekapan tenaga.
Kumpulan akan terus meneroka peluang dalam pasaran Malaysia dan Asia Tenggara, khususnya industri kelapa sawit dan pemprosesan, selain memperkukuh teknologi, pendigitalan dan projek Build-Own-Operate bagi menyokong pertumbuhan pendapatan berulang jangka panjang.-UTUSAN











