Prasarana sistem pembesar suara sekolah dinaik taraf - Utusan Malaysia

Prasarana sistem pembesar suara sekolah dinaik taraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Prasarana sistem pembesar suara (PA) di sekolah seluruh negara akan dinaik taraf dengan cadangan sejumlah peruntukan besar bagi memastikan kemudahan audio lebih berkualiti ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad, berkata cadangan peruntukan itu sudah dikemukakan dan akan diangkat semula kepada Pengarah Lembaga Peperiksaan (LP) untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, usaha memantapkan kemudahan sistem PA di sekolah penting bagi memastikan calon dapat mendengar dan memahami audio dengan jelas, khususnya ketika menduduki ujian mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Insya-Allah saya sudah mencadangkan satu peruntukan yang besar untuk membantu sekolah kita bagi memantapkan prasarana sistem PA ini.

“Memang sudah ada (cadangan peruntukan), tapi jumlah yang amat besar untuk kita berikan kepada sekolah-sekolah kita, untuk memantapkan (prasarana) supaya isu-isu ni tak boleh (lagi berulang),” katanya pada sesi Taklimat KPM bersama Media di sini, hari ini.

Terdahulu, Lembaga Peperiksaan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan berlaku masalah teknikal pada audio ketika Ujian Mendengar Bahasa Melayu bagi peperiksaan SPM.

Perkara itu dimaklumkan Lembaga Peperiksaan menerusi maklum balas terhadap aduan pengguna media sosial di platform Threads yang mendakwa audio ujian berkenaan tersekat-sekat sehingga menjejaskan kelancaran calon menjawab peperiksaan.

Dalam maklum balas ringkasnya, Lembaga Peperiksaan berkata pihaknya mengambil maklum perkara yang dibangkitkan dan siasatan lanjut akan menyusul.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, isu gangguan audio yang tular sebelum ini bukan berlaku secara menyeluruh, sebaliknya membabitkan kes terpencil yang tetap perlu diberi perhatian dan tindakan sewajarnya.

Beliau berkata, pengurusan peperiksaan di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan segala keperluan peperiksaan dinilai dan tindakan sewajarnya diambil.

Katanya, pengetua sebagai pengurus peperiksaan sekolah serta pengurus peperiksaan di peringkat negeri perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, termasuk menilai keperluan kemudahan yang digunakan.

Beliau berkata, Lembaga Peperiksaan sudah diberikan peringatan supaya meneliti aduan membabitkan kes terpencil berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, masalah yang dilaporkan tidak semestinya berpunca daripada kerosakan sistem audio semata-mata, sebaliknya turut membabitkan keupayaan calon menangkap sebutan dan bunyi perkataan yang diperdengarkan.

Katanya, isu berkaitan keupayaan calon memahami sebutan pernah dibangkitkan dalam peperiksaan terdahulu, khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Beliau berkata, Lembaga Peperiksaan juga sudah mengemukakan laporan kepada Menteri Pendidikan berhubung perkara itu dan sebarang tindakan susulan akan dimaklumkan berdasarkan hasil penilaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini