BRUSSELS: Ratusan penerbangan dibatalkan manakala pengangkutan awam di seluruh Belgium mengalami gangguan teruk susulan mogok besar-besaran bagi membantah cadangan langkah penjimatan kerajaan.
Semua trafik udara dihentikan sepenuhnya di Lapangan Terbang Brussels di Zaventem serta Lapangan Terbang Charleroi yang menjadi hab syarikat penerbangan tambang murah seperti Ryanair, selain perkhidmatan kereta api bawah tanah di ibu negara turut lumpuh apabila ribuan rakyat menyertai perarakan protes.
Mogok pengawal trafik udara itu menyebabkan tiada pesawat dibenarkan berlepas atau mendarat di Lapangan Terbang Brussels antara jam 7 pagi hingga 9 malam (waktu tempatan).
“Secara keseluruhan, sebanyak 404 penerbangan hari ini tidak dapat dikendalikan, sekali gus menjejaskan lebih 50,000 penumpang,” kata jurucakap Lapangan Terbang Brussels, Jeffrey Franssens.
Seorang penumpang warga Perancis, Florence Faure yang tiba di Brussels dari Beijing, China terkandas apabila penerbangan sambungannya ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris dibatalkan tanpa sempat mengambil bagasi.
“Memandangkan bagasi kami sepatutnya terus dihantar ke Paris Charles de Gaulle, kami langsung tidak menuntutnya,” katanya kepada agensi berita Reuters.
Situasi sama berlaku di Charleroi apabila seorang penumpang memaklumkan kepada penyiar Belgium, RTBF bahawa dia tidak menerima sebarang notis awal dan hanya menyedari tiada penerbangan beroperasi selepas tiba di lapangan terbang.
Selain pengangkutan awam, sekolah dan perkhidmatan awam lain turut terjejas dengan puluhan ribu penduduk termasuk seorang guru, Philippe Naime turun ke jalanan menyertai demonstrasi di Brussels.
“Secara ringkasnya, tiada lagi peruntukan dilaburkan dalam sektor pendidikan dan rakyat dibiarkan berdikari sendiri, sedangkan mereka tidak mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian,” ujarnya.
Ketegangan itu tercetus ketika Perdana Menteri, Bart De Wever yang mengetuai kerajaan gabungan lima parti masih buntu dalam rundingan bajet pemotongan kos selepas parti sosialis, Vooruit enggan menyokong pelan tersebut dan menuntut cukai lebih tinggi ke atas golongan kaya berbanding pemotongan pencen serta sektor kesihatan.
De Wever yang sebelum ini ditolak peletakan jawatannya oleh Raja Philippe telah menghadap baginda pada Isnin bagi memaklumkan perkembangan terkini kebuntuan politik berkenaan.
“Sambil menzahirkan rasa kesal terhadap ketiadaan kemajuan ketara, baginda menggalakkan perdana menteri supaya terus tabah berusaha bagi mencapai persetujuan secepat mungkin,” menurut kenyataan istana.
Sementara itu, ketua kesatuan sekerja utama negara itu, FGTB menegaskan kerajaan masih mempunyai alternatif lain selain meruntuhkan sistem perlindungan sosial.











