PETALING JAYA: Kegiatan dua lelaki melakukan jenayah pecah rumah pada waktu siang di empat negeri terbongkar selepas diberkas polis di Taman City dekat sini, kurang sejam selepas melakukan jenayah berkenaan.
Kedua-dua suspek tempatan berusia 40 dan 44 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari pada 16 November lalu hasil risikan dan tindakan pantas Bahagian Risikan/Operasi (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Pengarah JSJ, Datuk M. Kumar berkata, kedua-dua suspek dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Taman Rainbow, Jalan Ipoh kira-kira pukul 12 tengah hari hari sama.
“Polis merampas sebuah Toyota Camry berwarna hitam yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, selain pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah serta peralatan pecah rumah.
“Antara barangan yang dirampas ialah telefon bimbit, tablet, jam tangan, komputer riba, satu set kamera litar tertutup (CCTV), tiga set nombor pendaftaran kenderaan, wang tunai RM1,000, empat kad Touch ‘n Go dan satu resit pembelian emas.
“Turut dirampas pelbagai jenis beg, kasut, pakaian, sarung tangan dan pelitup muka yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semakan mendapati suspek pertama mempunyai 67 rekod lampau membabitkan 62 kes jenayah dan lima kes dadah.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 41 rekod jenayahnya membabitkan kesalahan pecah rumah. Suspek kedua pula mempunyai lima rekod lampau, masing-masing dua rekod jenayah dan tiga rekod dadah.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine,” jelasnya.
Kumar berkata, polis mengenal pasti seorang lagi ahli kumpulan berkenaan yang masih bebas dan usaha mengesan serta menangkap suspek sedang giat dijalankan.
Ujarnya, tangkapan itu membawa kepada penyelesaian 15 kes pecah rumah dengan anggaran kerugian keseluruhan RM293,500 melibatkan empat negeri.
Katanya, daripada jumlah itu, Selangor merekodkan tujuh kes diikuti Perak (5), Pahang (2) dan Kuala Lumpur (1).
“Siasatan mendapati kumpulan berkenaan menggunakan kenderaan dengan nombor pendaftaran palsu sebelum menyasarkan rumah teres yang tidak mempunyai pengawal keselamatan.
“Mereka dipercayai melakukan jenayah pada waktu siang ketika penghuni tiada di rumah dengan memasuki kediaman melalui pintu hadapan selepas mengumpil pagar,” ujarnya. – UTUSAN











