KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan beberapa siri konsert sebelum ini, kumpulan Spider bakal menggegarkan negeri kelahiran mereka menerusi Konsert Spider Sengat Selatan yang akan berlangsung di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor pada 30 Januari tahun hadapan.
Lebih istimewa, konsert tersebut bakal diserikan dengan kehadiran maestro tersohor, Datuk M. Nasir sebagai penyanyi undangan, sekali gus merealisasikan hasrat Spider yang sudah bertahun-tahun mahu berkongsi pentas dengan beliau.
Menurut vokalis Spider, Tam atau Rustam Mustafah, usaha mendapatkan M. Nasir sudah dilakukan sejak beberapa siri konsert terdahulu, namun kepadatan jadual seniman itu menjadi kekangan untuk merealisasikan perancangan tersebut.
“Kami sudah beberapa kali cuba mendapatkan M. Nasir untuk konsert sebelum ini, tetapi disebabkan kepadatan jadualnya, agak sukar untuk kami merealisasikan hasrat tersebut.
“Kali ini, kami beritahu pihak Ikon bahawa ada dua nama artis yang kami nantikan untuk bekerjasama, iaitu M. Nasir dan Ella kerana kedua-duanya pernah berkolaborasi dengan kami dalam album.
“Kami sendiri tidak menjangka Datuk (M. Nasir) bersetuju untuk bersama kami kali ini. Apabila sudah mendapat pengesahan, barulah saya mula memikirkan idea dan susunan muzik untuk persembahan nanti,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Spider Sengat Selatan, semalam.
Bagaimanapun, dia menyifatkan penglibatan M. Nasir dalam konsert di Johor lebih bermakna dalam mengangkat semangat anak seni dari selatan.
“Apabila difikirkan semula, mungkin lebih menarik apabila kami dapat bekerjasama kali ini kerana Johor merupakan kampung halaman kami, manakala beliau juga dari selatan. Jadi, kami mahu menguatkan lagi suasana dan semangat selatan dalam konsert ini,” jelasnya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Relaku Pujuk itu berharap konsert tersebut dapat mencipta nostalgia baharu buat kumpulan tersebut bersama peminat yang mengikuti perjalanan seni mereka sejak tiga dekad lalu.
“Bagi saya, sesuatu perkara itu hanya menjadi nostalgia selepas kita melaluinya. Konsert ini belum berlangsung, jadi kita tidak tahu lagi kenangan apa yang bakal tercipta. Tetapi apa yang pasti, saya memang teruja untuk membuat persembahan di Johor.
“Kalau semuanya berjalan lancar, sudah tentu ia akan menjadi satu kenangan yang indah buat kami. Kami tahu untuk mengadakan konsert besar di Johor agak berisiko, tetapi itulah cabarannya. Kalau hanya mahu berada dalam zon selesa, kita tidak akan tahu kemampuan kita.
“Kalau tidak mencuba, kemudian kita mengatakan Johor tidak boleh (adakan konsert besar), tidak seronok juga. Sekurang-kurangnya selepas melakukannya, kami dapat melihat sendiri impaknya.
“Untuk menarik 10,000 penonton bukan mudah. Tambahan pula, ini merupakan konsert pertama kami di kawasan terbuka. Banyak aspek perlu diambil kira termasuk cuaca, sistem bunyi dan perkara teknikal,” kongsinya.
Tiket konsert anjuran Icon Entertainment itu akan mula dijual di laman sesawang www.ticket2u.com.my/sengatspider mulai 26 November ini.











