PETALING JAYA: Persefahaman dan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan Sarawak terus diperkukuh dari semasa ke semasa dan menjadi keutamaan pada masa ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika pertemuannya dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam.
Beliau berkata, pertemuan turut menyentuh beberapa perkara berkepentingan bersama melibatkan aspek keselamatan, politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Dalam konteks politik nasional, saya menghargai komitmen dan sokongan Sarawak terhadap usaha kerajaan Persekutuan untuk memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pentadbiran negara,” katanya hari ini.
Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) berkata, kerjasama dan persefahaman antara kedua-dua pihak penting bagi membolehkan kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan ekonomi, pelaksanaan reformasi serta kesejahteraan rakyat. – UTUSAN











