Perak tidak sewenang-wenangnya halang penjaja berniaga - Utusan Malaysia

Perak tidak sewenang-wenangnya halang penjaja berniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini tidak sewenang-wenangnya menghalang apa juga bentuk perniagaan yang dijalankan oleh usahawan kecil atau penjaja.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, ramai peniaga kecil sebelum ini telah dibantu serta dapat menjalankan perniagaan masing-masing tanpa halangan.

“PBT mempunyai budi bicara dan mereka membenarkan peniaga untuk berniaga sekiranya tidak menghalang laluan atau mengganggu urusan awam. Kita tidak menganiaya peniaga, sebaliknya mencari jalan untuk memudahkan urusan mereka,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Dr. Hashim Bujang (Bersatu-Bukit Chandan) tentang nasib peniaga kecil semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Salbiah berkata, pihaknya akan terus memudahkan usahawan kecil menjalankan perniagaan termasuk menyediakan bantuan serta peralatan kepada mereka.

Jelasnya, sepanjang tahun 2026, kerajaan negeri telah menyediakan bantuan berjumlah RM1.609 juta yang memberi manfaat kepada seramai 644 usahawan di seluruh Perak.

Sementara itu mengenai aktiviti penanaman padi di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak, kerajaan kekal fokus terhadap isu kecukupan bekalan air.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, IADA Seberang Perak terkesan dengan fenomena El Nino khususnya semasa tempoh penanaman luar musim 2026.

Jelasnya, bagi perancangan jangka panjang, IADA Seberang Perak sedang melaksanakan pembinaan sebuah rumah pam solar dengan peruntukan sebanyak RM350,000 yang dijangka siap pada penghujung November 2026.

Katanya, kerajaan Pusat juga melantik perunding untuk melakukan kajian peningkatan kapasiti takungan Empangan Bukit Merah yang dijangka siap pada tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini