Elak beri sewa ruang kepada tujuh syarikat disenarai hitam AS - Utusan Malaysia

Elak beri sewa ruang kepada tujuh syarikat disenarai hitam AS

MENARA MITI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pengendali pusat data di Malaysia dinasihatkan tidak menyewakan ruang kepada tujuh entiti yang disenarai hitam Amerika Syarikat (AS), susulan kebimbangan penyaluran cip kecerdasan buatan (AI) kepada pihak tidak dibenarkan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan mengeluarkan notis kepada semua pengendali pusat data di negara ini bagi memaklumkan mengenai penyenaraian berkenaan.

Katanya, hanya dua daripada tujuh entiti terbabit merupakan syarikat yang beroperasi di Malaysia, iaitu Speedmatrix Sdn. Bhd. dan MSFusion Sdn. Bhd.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Speedmatrix merupakan anak syarikat milik penuh Megaspeed International Pte. Ltd. yang diperbadankan di Singapura.

“Berdasarkan rekod MIDA, PT Megaspeed International pula bukan entiti di Malaysia dan bukan pengendali atau penyewa pusat data yang beroperasi di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Biro Industri dan Keselamatan (BIS) di bawah Jabatan Perdagangan AS mengeluarkan peraturan muktamad pada 23 November lalu bagi memasukkan tujuh entiti dari Malaysia, Singapura dan Thailand ke dalam senarai sekatan perdagangan negara itu yang dikenali sebagai Entity List.

Tindakan berkenaan dibuat susulan kebimbangan bahawa entiti terbabit berisiko menyalurkan peralatan pengkomputeran canggih kepada pengguna akhir atau bagi kegunaan yang tidak dibenarkan.

Dalam pada itu, kementerian itu menegaskan Malaysia kekal komited untuk memastikan persekitaran perdagangan yang selamat, telus dan berasaskan peraturan, selain tidak akan membenarkan negara ini dijadikan laluan untuk memintas kawalan eksport.

Kementerian itu turut memberi amaran bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini