Trump puji kehebatan sendiri jual pesawat Boeing

Trump puji kehebatan sendiri jual pesawat Boeing

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjangkakan China akan membuat tempahan tambahan 250 pesawat Boeing, sekali gus membuka peluang kepada pengeluar pesawat itu menembusi pasaran penerbangan kedua terbesar dunia selepas hampir sedekad.

Jangkaan itu susulan pengumuman Trump pada Mei lalu berhubung China akan membeli 200 pesawat bersaiz besar, namun tanpa memperincikan butiran pembelian berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Kelly Ortberg pada Oktober lalu berkata, pembelian itu belum dimuktamadkan dan setakat ini hanya menunjukkan minat China untuk mendapatkan pesawat berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam temu bual bersama CNBC semalam, Trump mendakwa beliau berjaya meningkatkan jualan pesawat Boeing, namun mengakui syarikat itu perlu memastikan pengeluaran mampu memenuhi permintaan.

“Saya memang ‘raja’ dalam menjual pesawat Boeing, tetapi anda perlu menghasilkannya terlebih dahulu. Jika melihat jumlah tempahan tertunggak Boeing, angkanya memang luar biasa,” katanya.

Beliau turut mendakwa Boeing menganugerahkannya gelaran jurujual terbaik abad ini.

Saham Boeing meningkat 4.6 peratus kepada AS$163 (RM671) setakat 11.46 pagi waktu New York pada 23 November (12.46 tengah malam waktu Singapura, 24 November), sekali gus berada di landasan untuk mencatat kenaikan terbesar sejak awal Ogos.

Kerajaan China sebelum ini dijangka bersetuju membeli sehingga 500 pesawat Boeing ketika sidang kemuncak Presiden China, Xi Jinping bersama Trump pada Mei lalu. Bagaimanapun, Beijing dan syarikat penerbangannya masih belum mengeluarkan maklumat lanjut mengenai pembelian itu.

Belum dapat dipastikan sama ada pengumuman pada 23 November itu merujuk kepada tempahan rasmi atau jenis pesawat yang termasuk dalam jumlah berkenaan.

Jurucakap Boeing juga belum memberikan sebarang komen segera.

Boeing, antara pengeksport terbesar AS berdasarkan nilai jualan, menjadi antara syarikat pilihan Trump untuk menggunakan pengaruh korporat negara itu bagi mendapatkan manfaat dalam rundingan diplomatik.

Beliau turut menjadikan pembelian pesawat sebagai salah satu pendekatan untuk memeterai perjanjian perdagangan dengan negara lain, termasuk Qatar.

Minggu lalu, Trump mengumumkan penjualan 20 pesawat Boeing 787 Dreamliner kepada Philippine Airlines sebagai antara kejayaan utama hasil lawatan terbaharunya ke Asia.

Usaha Trump menyusun semula perdagangan global sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut meningkatkan ketegangan antara Washington dan Beijing, termasuk pertikaian tarif timbal balik yang hampir menjejaskan hubungan perdagangan penting antara kedua-dua negara.

Ketegangan itu mencerminkan persaingan strategik lebih mendalam yang didorong kemajuan ekonomi dan teknologi China, sekali gus dilihat Washington sebagai cabaran langsung terhadap penguasaannya di peringkat global.- BLOOMBERG

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini