KUALA LUMPUR: Kerajaan belum mempunyai perundangan alternatif yang sesuai untuk menggantikan Akta Hasutan 1948 (Akta 15) meskipun terdapat pelbagai bantahan dan pandangan terhadap pelaksanaannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri tidak bersetuju dengan akta berkenaan, namun mengakui belum ada undang-undang alternatif yang mampu menangani pertikaian, khususnya membabitkan hubungan antara kaum.
Kata beliau, penggubalan Akta Hasutan berkenaan mempunyai kaitan dengan pendirian kepimpinan negara ketika era Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang meletakkan keharmonian kaum sebagai keutamaan.
“Bila keputusan di era Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, memulakan ketegasan perihal ini kerana bagi pimpinan ketika itu, soal keharmonian kaum harus diutamakan.
“Sebab itu pimpinan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Ismail Abdul Rahman sangat keras dan tegas dalam hal ini sehingga membawa kepada (penggubalan) Akta Hasutan.
“Banyak pandangan mengenai masalah Akta 15, termasuk saya. Namun, kita tidak ada penyelesaian ganti untuk menjernihkan hubungan antara kaum,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) meminta penjelasan sama ada terdapat jurang perundangan yang memerlukan campur tangan lebih menyeluruh, mengambil kira jumlah kes pendakwaan yang lebih rendah berbanding laporan polis.
Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan bahawa sebarang bantahan atau pandangan berhubung kes tertentu boleh dikemukakan tanpa mengira perbezaan latar belakang bagi memperkukuh integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, keharmonian negara perlu dipelihara dengan memastikan tiada pihak dibenarkan menghina mana-mana agama, tanpa mengira kepercayaan yang dianuti.
“Ini saya setuju kerana ada persepsi ‘kita izinkan penghinaan kepada agama lain, tetapi menghalang penghinaan terhadap Islam’. Memang ada dalam kalangan kita dengar Ahli Parlimen begitu.
“Kalau kita betul-betul jaga keharmonian, jangan izinkan penghinaan ke atas mana-mana agama. Baru boleh negara ini selamat.
“Namun, jika kita dalam semua hal, termasuk dari segi undang-undang, mahu ikut anutan agama dan kaum masing-masing, saya tidak fikir kita boleh jamin keselamatan dan keharmonian negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan memastikan siasatan terhadap kes berkaitan keharmonian kaum dilaksanakan secara telus, selain memberi ruang kepada pihak berkaitan mengemukakan bantahan sekiranya berlaku sebarang ketidakadilan.
“Saya tidak ada permasalahan kerana proses kadang-kadang, saya setuju, mengambil terlalu banyak masa. Kalau tengok konteks di Negeri Sembilan, berapa banyak bentuk penghinaan kepada institusi diraja.
“Ini serius, selain banyak membangkitkan mengapa ia dikecualikan dan tiada tindakan tegas. Jadi kadang-kadang kita lihat dari segi polemik kepartian, politik atau kaum.
“Kalau kita sepakat, umpamanya menghalang, jangan ada penghinaan agama. Agama apa pun kerana tidak akan menjadi jernih dan ini bukan keputusan baru,” katanya. – UTUSAN











