WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menyenarai hitam Megaspeed International yang berpangkalan di Singapura, sekali gus melarang syarikat itu membeli cip termaju.
Keputusan itu dibuat susulan dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang menjalin hubungan sulit dengan seorang eksekutif Megaspeed yang didakwa menjadi perisik China.
Syarikat itu bersama empat sekutunya di Malaysia, Singapura dan Thailand dimasukkan ke dalam Senarai Entiti Jabatan Perdagangan AS atas alasan bertindak bertentangan dengan kepentingan keselamatan negara atau dasar luar negara itu, menurut pemfailan yang disiarkan dalam Daftar Persekutuan.
Huang, 63, sebelum ini meletakkan jawatan selepas laporan mendakwa beliau menjalin hubungan dengan Alice Huang, bekas eksekutif Megaspeed. Syarikat itu dilaporkan membeli cip Nvidia bernilai berbilion dolar.
Bagaimanapun, Huang dilantik semula sebagai CEO Nvidia pada pagi Isnin selepas Presiden AS, Donald Trump, berulang kali menegaskan beliau perlu kembali menerajui syarikat yang memainkan peranan penting dalam revolusi kecerdasan buatan (AI).
Penamaan itu melarang Megaspeed membeli cip AI dan teknologi termaju lain tanpa lesen daripada kerajaan AS.
Syarikat berkenaan didakwa berkemungkinan menyalurkan cip berteknologi tinggi dan kuasa pengkomputeran kepada China, sekali gus melanggar sekatan eksport ketat yang ditetapkan Washington.
Perkhidmatan perisikan AS dilaporkan membuat kesimpulan bahawa Alice menyalurkan maklumat kepada Beijing, namun China menafikan dakwaan berkenaan.
Antara tujuh syarikat yang dimasukkan ke dalam senarai itu pada Isnin ialah Swiftdata yang berpangkalan di Singapura dan merupakan syarikat induk Megaspeed, serta Speedmatrix, sekutu Megaspeed yang beroperasi di Malaysia.
Satu lagi syarikat ialah Apex Enterprise Solutions yang berpangkalan di Singapura dan merupakan anak syarikat gergasi teknologi China, Alibaba. Alibaba menyifatkan tindakan AS itu sebagai tidak berasas.
“Apex tidak pernah mengalihkan cip pengkomputeran termaju yang tertakluk kepada sekatan eksport AS. Kami akan menggunakan segala saluran undang-undang untuk melindungi hak dan reputasi kami,” kata jurucakap Alibaba kepada AFP.
Tindakan terbaharu itu menyusul selepas pentadbiran Trump minggu lalu mengumumkan kawalan eksport cip AI yang lebih ketat, sekali gus menutup ruang yang membolehkan syarikat China mengakses cip Nvidia paling canggih dari jarak jauh.
Alibaba merupakan antara pelanggan terbesar Nvidia yang berpangkalan di California dalam kalangan syarikat China.
Senarai yang diterbitkan Kongres AS menunjukkan Alibaba memohon lesen eksport bagi hampir 950,000 cip Nvidia setakat Mei lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Alibaba, Eddie Wu berkata, dalam panggilan persidangan keputusan kewangan syarikat minggu lalu bahawa pihaknya akan beralih kepada penggunaan cip tempatan sebagai tindak balas terhadap sekatan eksport terbaharu AS.
Wu turut mendedahkan Alibaba kini melatih generasi terbaharu model Qwen menggunakan cip dalaman syarikat, T-Head, iaitu anak syarikat Alibaba yang mengkhusus dalam reka bentuk cip.-AFP











