KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang meneliti beberapa cadangan pembinaan lebuh raya bertol baharu yang dikemukakan pihak swasta bagi mengatasi kesesakan di Lebuh Raya Persekutuan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan berkenaan membabitkan pembinaan sebahagian atau sambungan daripada jajaran Lebuh Raya Persekutuan sedia ada.
Beliau berkata, semua cadangan itu akan diperinci sebelum dikemukakan kepada mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat.
“Cadangan ini akan diperinci sebelum dikemukakan kepada mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat.
“Kementerian sentiasa komited menangani isu kesesakan di Lebuh Raya Persekutuan melalui pendekatan yang holistik dan bersepadu.
“Ia merangkumi pengukuhan pengangkutan awam, penambahbaikan rangkaian jalan raya serta penyediaan laluan alternatif, dengan mengambil kira aspek keberkesanan, kemampanan dan nilai untuk wang,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai perancangan menyeluruh kementerian bagi mengatasi kesesakan di Lebuh Raya Persekutuan susulan pertambahan kawasan kediaman dan komersial, termasuk cadangan pembinaan laluan bertingkat serta model pembiayaan pembangunan yang bersesuaian.
Mengulas keadaan trafik di lebuh raya berkenaan, Alexander berkata, bancian trafik 2025 di stesen berhampiran Pejabat KEMAS Selangor mendapati tahap perkhidmatan jalan (LOS) bagi Lebuh Raya Persekutuan FT2 berada pada tahap F, iaitu menunjukkan aliran trafik sangat sesak.
Katanya, KKR turut mengambil perhatian bahawa pertumbuhan pesat kawasan perumahan, perindustrian dan komersial di sepanjang koridor berkenaan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kesesakan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kementerian tidak bercadang melaksanakan kerja pelebaran lebuh raya atau pembinaan laluan bertingkat di koridor itu ketika ini berikutan implikasi kos yang tinggi.
“Bagaimanapun pada masa ini, kementerian tidak bercadang untuk melaksanakan pelebaran lebuh raya atau pembinaan laluan bertingkat di koridor berkenaan kerana ia membabitkan implikasi kos sangat tinggi.
“Ia berikutan kos pengambilan balik tanah yang tinggi, khususnya di kawasan sudah pesat membangun, selain membabitkan pengambilan aset sedia ada serta berpotensi memberi kesan impak sosial kepada penduduk dan pemilik premis di kawasan berkenaan,” katanya. – UTUSAN











