IPOH: Kerajaan negeri hari ini membentangkan Belanjawan Perak 2027 bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera: Hasil Dirasa, Keyakinan Dibina’ berjumlah RM1.693 bilion.
Ia merangkumi RM1.1 bilion peruntukan bagi perbelanjaan mengurus dan RM593 juta untuk perbelanjaan pembangunan.
Belanjawan berkenaan mencatatkan peruntukan tertinggi dalam sejarah negeri berbanding Belanjawan 2026 berjumlah RM1.61 bilion dan Belanjawan 2025 sebanyak RM1.52 bilion.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan pembangunan meningkat RM25 juta atau 4.4 peratus berbanding tahun sebelumnya dan merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah belanjawan negeri.
“Peningkatan ini membawa makna besar kerana menyediakan ruang lebih luas untuk meneruskan pelaksanaan projek infrastruktur dan memperkukuh kemudahan awam.
“Selain itu, ia turut membolehkan kegiatan ekonomi dirancakkan dan pelbagai usaha pembangunan yang menjadi keutamaan rakyat disempurnakan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.
Menurut Saarani, belanja bagi maksud mengurus berjumlah RM1.1 bilion merangkumi emolumen sebanyak RM508.2 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM393.7 juta), pembelian aset (RM12.3 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM179.1 juta) serta lain-lain perbelanjaan (RM6.6 juta).
Katanya, bagi mendukung perancangan tersebut, kerajaan negeri mengunjurkan hasil dan terimaan pembangunan sebanyak RM1.565 bilion, meningkat RM47 juta berbanding tahun 2026.
Katanya, jumlah itu merangkumi hasil cukai sebanyak RM719 juta, hasil bukan cukai (RM554 juta), terimaan bukan hasil (RM250 juta) dan terimaan pembangunan (RM42 juta).
“Belanjawan Negeri 2027 dirangka dengan unjuran defisit sebanyak RM128 juta, namun angka itu tidak semestinya menggambarkan kedudukan kewangan sebenar pada akhir tahun,” katanya.
Tambah beliau, Belanjawan 2026 sebelum ini dirangka dengan unjuran defisit RM95.5 juta, namun kutipan hasil negeri telah meningkat kepada RM1.244 bilion sehingga 23 November 2026.
“Insya-Allah, dengan momentum kutipan hasil yang terus diperkukuh dan perbelanjaan yang dikawal secara berhemat, kerajaan negeri menjangkakan Perak sekali lagi mencatatkan lebihan kewangan pada penghujung tahun 2026, sekali gus melengkapkan pencapaian surplus lima tahun berturut-turut,” katanya.
Perak sebelum ini mencatatkan defisit RM78 juta pada 2020 dan RM6.59 juta pada 2021, sebelum beralih kepada lebihan RM29.6 juta pada 2022, RM62.4 juta (2023), RM45.6 juta (2024) dan RM87.92 juta (2025). – UTUSAN











