Tiada kemasukan Pati dikesan guna jalan laut dalam tempoh dua minggu - Utusan Malaysia

Tiada kemasukan Pati dikesan guna jalan laut dalam tempoh dua minggu

MOHD. YUSOFF MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ops Bersepadu Membanteras Penyelududpan Pendatang Tanpa Izin (Pati) di kawasan laut dan Sungai Kelantan dilihat berkesan apabila tiada kes kemasukan penyeludupan tersebut dalam tempoh dua minggu bermula 7 hingga 21 November lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, berikutan itu operasi tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam membanteras kegiatan penyeludupan migran.

Katanya, operasi fasa kedua itu bertindak dengan menyekat termasuk di laluan Teluk Renjuna, Tumpat dan Kuala Besar di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam tempoh itu, kita dapati tiada rekod kemasukan Pati melalui laut dan Sungai Kelantan dan keadaan juga terkawal.

“Ops ini dilaksanakan dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memperkukuh kawalan sempadan serta membanteras kegiatan penyeludupan migran,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff berkata, namun dalam tempoh berkenaan hanya dua kes direkodkan iaitu di Tanah Merah dan Gua Musang.

Katanya, di Nibong, Tanah Merah, ia melibatkan empat warganegara Malaysia yang disyaki tekong bersama seramai 30 warganegara Myanmar ditahan, manakala di Gua Musang, melibatkan seorang warganegara Malaysia disyaki tekong bersama 23 individu dipercayai Pati turut ditahan.

“Mereka masing-masing ditahan oleh Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri.

“Kesemua dsyaki memasuki negara ini melalui sempadan Sungai Golok,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam menangkap seramai 4,953 Pati melibatkan 2,887 kes direkodkan di Kelantan, berbanding 3,535 tangkapan dalam tempoh yang sama pada tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 40 peratus bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, daripada jumlah itu, PDRM Kelantan merekodkan
4,483 orang, Pasukan Gerakan Am (PGA) seramai 855 orang dan Pasukan Polis Marin (PPM) seramai 41 orang.

“Dalam aspek kontraban pula sebanyak 964 kes dengan nilai rampasan RM88.20 juta direkodkan. PDRM Kelantan menyumbangkan sebanyak 161 kes dengan nilai rampasan RM7.8 juta, manakala PGA sebanyak 704 kes bernilai RM76.76 juta dan PPM pula merekodkan 99 kes bernilai RM3.5 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini