Aubrey Suwito pernah ditegur pakar muzik tradisional Nusantara - Utusan Malaysia

Aubrey Suwito pernah ditegur pakar muzik tradisional Nusantara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah muzik terkenal, Aubrey Suwito mendedahkan pernah ditegur pakar muzik tradisional Nusantara merangkap penyelianya ketika mengikuti pengajian sarjana selepas memberikan pandangan bahawa ada sesebuah karya muzik tertentu tidak sedap didengar.

Aubrey, 60, berkata, penyelianya mengingatkan bahawa penilaian terhadap muzik tidak seharusnya dibuat berdasarkan cita rasa sendiri kerana karya yang tidak disukai mungkin menjadi kegemaran orang lain.

“Dia bertanya siapa saya untuk menentukan sesuatu muzik itu bagus atau tidak, sedangkan karya yang saya anggap tidak bagus mungkin menjadi kegemaran orang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia turut mengingatkan saya supaya meluaskan perspektif kerana dengan lebih banyak pendedahan dan pemahaman, saya mungkin belajar menghargai karya tersebut,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Tambahnya, pengalaman itu membuatkan dia mula menilai semula pandangannya terhadap muzik, termasuk genre jazz dan klasik yang pernah tidak disukainya, namun kini menjadi antara muzik yang diminati.

“Dahulu saya tidak suka jazz dan muzik klasik, malah langsung tidak memahami mengapa orang begitu menyukainya.

“Hari ini saya sangat suka kedua-dua genre itu, bukan kerana muziknya berubah, tetapi mungkin saya yang berubah apabila semakin banyak mendengar, belajar dan terdedah kepada perkara baharu,” katanya.

Bagaimanapun, Aubrey berkata, dia masih mempunyai cita rasa tersendiri dan tidak menyukai semua jenis muzik.

Katanya, tidak bermakna karya yang kurang digemarinya itu wajar dipandang rendah.

“Tidak suka sesuatu karya tidak bermakna karya itu tidak bagus, jadi apa gunanya menghebahkan betapa buruknya sesuatu karya semata-mata mahu menunjukkan diri lebih pandai?

“Kadangkala bukan karya seni itu yang kurang baik, sebaliknya mungkin pendedahan, pemahaman dan penghargaan kita sendiri masih belum cukup,” katanya.

Dalam pada itu. Aubrey turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memberikan komen terhadap kritikan yang dilontarkan.

“Tidak mengapa jika kita suka atau tidak menyukai sesuatu, tetapi kita perlu berhati-hati sebelum memberikan komen dan membezakan antara menyatakan cita rasa sendiri dengan memperlekehkan sesuatu.

“Kita tidak perlu menyukai semua perkara, tetapi tidak perlu merendahkan setiap perkara yang tidak disukai kerana masih banyak yang boleh diterokai sekiranya kita bersedia membuka minda dan mendengar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini