Bomba pantau lima lokasi berisiko banjir di Kuala Nerus - Utusan Malaysia

Bomba pantau lima lokasi berisiko banjir di Kuala Nerus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Nerus sudah bersedia menghadapi kemungkinan banjir susulan hujan lebat berterusan yang berisiko menyebabkan beberapa kawasan di daerah itu dinaiki air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Mohd. Roslan Omar berkata, pihaknya mula melaksanakan pemantauan di kawasan berisiko banjir sejak 20 November lalu melibatkan beberapa lokasi yang dikenal pasti berpotensi dinaiki air.

Menurutnya, antara kawasan yang diberi perhatian ialah Kampung Sungai Jeram, Taman Uda, Taman Desa Tanjung Damai, Padang Hangus dan Kampung Jeram Hilir.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekiranya hujan berterusan dan keadaan semakin buruk, kemungkinan akan berlaku pertambahan pemindahan penduduk terutama di Taman Uda dan Taman Desa Tanjung Damai,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menempatkan anggota di kawasan berisiko dengan pelaksanaan pemantauan secara bergilir-gilir selama 12 jam bagi memastikan tindakan segera dapat dilakukan sekiranya berlaku banjir.

Katanya, pasukan bomba juga bersedia digerakkan menerusi Pusat Gerakan Cepat (PGC) sekiranya berlaku kejadian banjir atau penduduk memerlukan bantuan pemindahan.

“Sekiranya hujan lebat berterusan seperti petang semalam, kita menjangkakan kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan yang dikenal pasti dan tindakan pemindahan penduduk akan dilakukan jika keadaan memerlukan,” katanya.

Mohd Roslan berkata, sekiranya banjir berlaku serentak di beberapa lokasi, pihaknya akan menggerakkan anggota ke kawasan terjejas berdasarkan keperluan dan tahap risiko bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

Beliau menganggarkan kira-kira 200 hingga 300 penduduk melibatkan 15 hingga 20 keluarga berpotensi terjejas sekiranya banjir berlaku di kawasan berkenaan.

Kuala Nerus menjadi daerah pertama di landa banjir di negeri apabila seramai 123 mangsa daripada 36 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal malam tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini