Hubungan Malaysia-Mesir terus diperkukuh - Utusan Malaysia

Hubungan Malaysia-Mesir terus diperkukuh

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hubungan antara Malaysia dan Mesir akan terus memperkukuh menerusi kerjasama erat terutama dalam bidang pendidikan dan pembangunan ummah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Menteri Wakaf Mesir, Sheikh Dr Usama al-Sayyid al-Azhari di Putrajaya, semalam.

Katanya, menerusi pertemuan itu itu juga berjaya memperkukuh hubungan erat antara Malaysia dan Mesir yang sekian lama terjalin berasaskan tradisi keilmuan, ukhuwah dan sikap saling menghormati.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pertemuan ini turut memberi ruang untuk bertukar pandangan mengenai hal ehwal Islam dan pendidikan anak-anak Malaysia di Mesir.

“Kerajaan Malaysia sentiasa memberikan perhatian terhadap perjalanan ilmu mereka, dengan harapan mereka kembali menyumbang kepakaran dan ilmu kepada masyarakat serta tanah air kelak.

“Semoga persahabatan Malaysia-Mesir terus mekar dan menjadi jambatan ilmu serta kerjasama yang membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” kata beliau melalui Facebooknya, semalam.

Perdana Menteri, berkata dalam pertemuan itu, Usama turut menyampaikan salam persahabatan dan penghargaan daripada Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi atas sambutan mesra yang diberikan sempena lawatannya ke Malaysia pada 9 Oktober lalu.

Sementara itu, Perdana Menteri, merakamkan penghargaan kepada Usama dan Mufti Besar India, Syeikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari, yang sentiasa mengingatkan umat Islam mengenai kepentingan memelihara ilmu, menghidupkan tradisi pengajian hadis dan menjadikan adab serta akhlak sebagai sebahagian daripada kehidupan.

Kedua-dua pemimpin berkenaan hadir pada Majlis Khatam Sama’hadis Jami’ Al Tharmidhi dan Al-Syama’il Al Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra, Putrajaya, malam tadi.

Perdana Menteri, berkata penganjuran majlis berkenaan yang berlangsung sejak 13 November lalu adalah kesinambungan usaha Kerajaan MADANI sejak 2024, bermula dengan Sahih al-Bukhari, diikuti Sahih Muslim pada 2025 dan Jami’ Al-Tirmidhi serta Al-Syamail Al-Muhammadiyyah pada tahun ini, dengan tujuan mendekatkan masyarakat kepada warisan Rasulullah SAW melalui bimbingan ulama.

“Ilmu tidak seharusnya terhenti pada bacaan dan pendengaran semata-mata. Ia perlu difahami, dihayati dan diterjemahkan dalam amalan, termasuk dalam cara kita memimpin, melaksanakan tanggungjawab dan berhubung sesama insan.

“Mudah-mudahan tradisi ilmu ini terus subur di tanah air, membentuk masyarakat yang beradab, memperkukuh nilai amanah dan keadilan serta menjadi asas kepada kesejahteraan negara.

“Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan keberkatan kepada Malaysia. Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini