Nilai prestasi kerajaan secara menyeluruh - Pembangkang

Nilai prestasi kerajaan secara menyeluruh – Pembangkang

ANWAR Ibrahim ketika melawat reruai peniaga kecil selepas Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 di Stadium Kajang baru-baru ini.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka dan data ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira sejauh mana kehidupan rakyat bertambah baik serta pentadbiran negara bebas daripada rasuah, korupsi, ketirisan dan penindasan terhadap rakyat serta sektor perniagaan.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, keberkesanan pentadbiran kerajaan turut bergantung kepada kemampuan meringankan beban kehidupan rakyat, mengurangkan amalan rasuah dan memastikan jentera pentadbiran benar-benar membantu menyelesaikan masalah masyarakat.

Katanya, peningkatan pendapatan dan kuasa beli rakyat perlu seiring dengan kenaikan harga barang serta perkhidmatan, selain usaha mewujudkan pekerjaan berkualiti, meningkatkan gaji dan memperkukuh daya saing ekonomi negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Prestasi dan persepsi terhadap kerajaan turut bergantung kepada kemampuan Jemaah Menteri, kementerian dan parti-parti kerajaan untuk bekerja sebagai satu pasukan.

“Pertikaian terbuka dalam kalangan anggota Kabinet dan parti kerajaan bukan perkembangan yang baik kerana boleh menjejaskan keyakinan rakyat, komuniti perniagaan dan masyarakat antarabangsa terhadap kestabilan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, kerajaan juga perlu mempercepat reformasi institusi melalui pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, selain memperkukuh kebebasan serta integriti institusi undang-undang, penguatkuasaan dan kehakiman.

Katanya, usaha itu perlu disertai peningkatan kecekapan pentadbiran melalui pengurangan birokrasi, ketirisan dan pertindihan dasar, selain memperkasa pembangunan Melayu-Islam, Bumiputera serta perpaduan nasional bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan adil kepada semua kelompok masyarakat.

“Peningkatan dan kejayaan pihak tertentu memainkan sentimen Melayu-Islam dan politik identiti adalah berikutan kelemahan menangani persepsi ini.

“Masih ada kira-kira setahun untuk Perdana Menteri dan kerajaan memperbaiki prestasi, membetulkan kelemahan pentadbiran dan memulihkan keyakinan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Anwar naik sebagai Perdana Menteri dengan sejuta harapan daripada rakyat namun kini masyarakat tanpa mengira bangsa sedang kecewa dengan pentadbirannya.

Katanya, masalah terbesar Anwar adalah beliau kekurangan ahli pasukan yang kompeten sekali gus mengakibatkan banyak agenda reformasi tidak dilaksanakan.

“Oleh kerana tiada perkara baru yang berjalan, maka beliau terpaksa mengulang-ulang propaganda ketika menjadi pembangkang iaitu naratif sakau dan rasuah.

“Sedangkan rakyat melihat sendiri betapa masalah-masalah ini masih berleluasa dalam pentadbiran Anwar sendiri.

“Sekiranya beliau mahu memperbaiki prestasi, saya cadangkan supaya Perdana Menteri membuat rombakan kabinet dan memberikan tanggungjawab kepada mereka yang benar-benar mampu dan kompeten untuk menjadi pemimpin. Agenda reformasi mesti dilaksanakan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini