Anggota pentadbiran diingat pelihara adab, disiplin - PM

Anggota pentadbiran diingat pelihara adab, disiplin – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung penggunaan perkataan tidak sesuai dalam rangkap pantunnya ketika sesi penggulungan kementerian berkenaan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua anggota pentadbiran supaya sentiasa memelihara adab dan disiplin dalam urusan rasmi kerajaan meskipun berdepan suhu politik yang meningkat.

Anwar berkata, beliau memahami keadaan politik semasa khususnya menjelang musim Pilihan Raya Negeri (PRN) yang kadangkala menyebabkan seseorang terlanjur kata ketika berkempen, namun budaya sedemikian tidak wajar dibawa masuk ke dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau selepas ini ada sesiapa yang melanggar kaedah ini, sewajarnya meletakkan jawatan atau dinasihatkan untuk meletakkan jawatan kerana sistem kita tidak boleh berjalan begitu.

“Kalau tidak setuju, boleh dibawa ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri. Hendak tukar keputusan, boleh bawa dalam forum yang tertentu. Tetapi untuk kes khusus ini, saya ucap terima kasih dan menerima baik semangat yang ditunjukkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 di Shenzhen, China, hari ini.

Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengambil langkah menegur perkara tersebut demi memastikan adab dalam sistem pentadbiran serta hubungan sesama anggota Jemaah Menteri terus dihormati.

Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian mengutus surat permohonan maaf secara rasmi kepadanya dan beliau menyambut baik tindakan tersebut.

“Saya rasa kita terima baiklah, dengan mengingatkan jangan perkara ini berulang dan apa-apa teguran,” ujarnya.

Terdahulu, menerusi surat rasmi bertarikh 17 November lalu, Ahmad mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada Perdana Menteri dan mengakui pemilihan kata dalam pantun yang dilafazkannya pada sesi penggulungan Dewan Rakyat, 16 November lalu adalah tidak sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai anggota pentadbiran kerajaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini