Suami isteri menang RM3,000 tangkap ikan Baung ekor merah

Suami isteri menang RM3,000 tangkap ikan Baung ekor merah

Henri Ardi Arshad bersama Zuriah Hamzah mengangkat ikan baung ekor merah seberat 15 kilogram yang memenangi hadiah RM3,000 di Kampung Jerantut Feri, Jerantut, Pahang semalam. – UTUSAN/ HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Niat suami isteri menyertai Pesta Tawan Baung Ekor Merah hanya untuk mendapatkan sehelai baju T bertukar mendapat durian runtuh RM3,000 apabila ikan baung seberat 15 kilogram yang ditangkap mereka dipilih pemenang pertama di Kampung Jerantut Feri dekat sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zuriah Hamzah, 52, berkata, dia dan suaminya, Henri Ardi Arshad, 63, mendaftar pesta menangkap ikan pemangsa air tawar, baung ekor merah anjuran kerajaan negeri untuk suka-suka dan mendapatkan baju T sahaja.

“Selepas pesta bermula dua hari lalu, suami saya terus memasang kira-kira 20 batang tajur berumpankan ikan keli di tebing Sungai Pahang berdekatan rumah kami di Kampung Gintong pada sebelah petang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Suami langsung tidak menyangka apabila sebatang tajur diangkat selepas itu, dia mendapati seekor ikan baung ekor merah yang agak besar dan bersetuju untuk dibawa ke tempat timbangan yang diuruskan oleh kakitangan Jabatan Perikanan,” katanya di Jerantut Feri dekat sini.

Zuriah seorang peniaga ikan sungai di pekan sehari bandar Jerantut berkata, setelah ditimbang ikan pemangsa tersebut seberat 15 kilogram dan mereka mula berangan memperoleh hadiah utama seba­nyak RM3,000 apabila tidak ada ikan peserta lain melebihi berat tersebut.

Sementara itu, Henri Ardi yang juga seorang nelayan Sungai Pahang di Kampung Gintong berkata, inilah pertama kali dia menyertai pertandingan menangkap spesies liar pemangsa Sungai Pahang setelah isterinya mendaftar yang cuma ingin memiliki cenderamata sehelai baju T pesta tersebut.

“Saya terus memasang tajur pada sebelah petang kelmarin langsung tanpa niat untuk memperoleh ikan besar. Namun dalam tempoh 12 jam sahaja seekor ikan baung tersangkut pada mata tajur yang dipasang umpan ikan keli,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini