PETALING JAYA: Sebanyak 40 peratus syarikat di Malaysia merancang meningkatkan jumlah tenaga kerja pada 2027, namun pengambilan pekerja dijangka lebih selektif dengan majikan memberi tumpuan kepada kemahiran serta impak setiap pekerja terhadap prestasi perniagaan.
Perkembangan itu menunjukkan perubahan strategi pengambilan pekerja apabila syarikat semakin mengutamakan calon yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah mempunyai kemahiran khusus dan keupayaan menterjemahkan kepakaran kepada hasil perniagaan yang ketara.
Menurut Tinjauan Gaji Robert Walters 2027, permintaan terhadap bakat dijangka kekal kompetitif, khususnya dalam sektor teknologi, kejuruteraan dan pembuatan termaju susulan peningkatan pelaburan negara dalam pembangunan pusat data serta industri semikonduktor.
Keadaan itu turut meningkatkan permintaan terhadap tenaga profesional yang mempunyai kepakaran dalam kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, pengkomputeran awan dan analisis data.
Pengurus Negara Robert Walters Malaysia, Gan Hua Choon berkata, majikan kini lebih berhati-hati menentukan pelaburan dalam tenaga kerja dengan menilai keupayaan yang diperlukan serta sumbangan setiap pengambilan pekerja kepada organisasi.
Katanya, syarikat perlu mengambil pendekatan lebih strategik dalam mendapatkan bakat, termasuk mempertimbangkan calon yang mungkin belum memenuhi semua kriteria ditetapkan tetapi mempunyai kebolehsuaian dan potensi untuk berkembang dalam sesuatu jawatan.
“Organisasi perlu mengekalkan dan membangunkan pekerja berkualiti, selain terus mendapatkan bakat serta keupayaan baharu bagi menyokong pengembangan dan transformasi perniagaan.
“Keutamaan adalah membina gabungan tenaga kerja dan kemahiran yang tepat bagi menghasilkan impak perniagaan bermakna,” katanya dalam kajian.
Dalam pada itu, pengambilan pekerja berasaskan kemahiran semakin mendapat perhatian apabila majikan mula menilai keupayaan praktikal, kebolehsuaian serta kesediaan calon untuk terus meningkatkan kemahiran.
Tinjauan itu mendapati kemahiran kepimpinan, pengurusan sumber manusia dan kemahiran insaniah menjadi antara keupayaan paling diperlukan majikan, diikuti analisis data dan risikan perniagaan serta kemahiran jualan, pembangunan perniagaan dan komersial.
Lebih separuh atau 55 peratus majikan turut memberikan penilaian tinggi terhadap kemahiran praktikal berkaitan pekerjaan dan pengetahuan khusus ketika menilai calon.
Sementara itu, 56 peratus golongan profesional mengakui kemahiran mereka secara umumnya masih relevan, namun terdapat ruang untuk penambahbaikan, manakala 46 peratus sudah mendapatkan, sedang mengikuti atau merancang melanjutkan kelayakan tambahan.
Perkembangan teknologi AI turut mendorong golongan profesional meningkatkan keupayaan masing-masing apabila 59 peratus pekerja kontrak menyatakan teknologi itu mendorong mereka mempelajari kemahiran khusus AI secara aktif.
Sebanyak 29 peratus pula memberi tumpuan kepada kemahiran yang sukar digantikan AI, termasuk kepimpinan, pembinaan hubungan dan keupayaan membuat pertimbangan.
Dalam aspek pengambilan pekerja secara fleksibel, 50 peratus majikan yang ditinjau sudah menggunakan khidmat pekerja kontrak, manakala enam peratus lagi merancang berbuat demikian.
Bagaimanapun, 73 peratus pekerja kontrak mengakui terdapat jurang antara kemahiran dimiliki dengan keupayaan yang diperlukan majikan, sekali gus menunjukkan kepentingan peningkatan kemahiran bagi memastikan kebolehpasaran mereka.
Pada masa sama, keyakinan golongan profesional terhadap peluang pekerjaan turut meningkatkan persaingan mendapatkan dan mengekalkan pekerja berkualiti.
Tinjauan itu mendapati 70 peratus golongan profesional yakin atau optimis terhadap peluang pekerjaan dalam bidang masing-masing, manakala 39 peratus pekerja sedang mencari peluang baharu secara aktif dan 26 peratus lagi merancang berbuat demikian dalam tempoh tiga hingga 12 bulan akan datang.
Cabaran lebih ketara apabila 91 peratus golongan profesional berkemungkinan meminta kenaikan gaji melebihi 10 peratus apabila bertukar pekerjaan, berbanding hanya 40 peratus majikan yang menjangkakan mampu menawarkan kenaikan pada kadar berkenaan.
Keadaan itu mewujudkan jurang jangkaan antara majikan dengan pekerja, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap syarikat untuk menawarkan pakej ganjaran yang lebih kompetitif.
Selain gaji dan faedah, jaminan pekerjaan, fleksibiliti waktu bekerja serta keseimbangan kehidupan dan kerjaya turut menjadi pertimbangan penting golongan profesional.
Gan Hua Choon berkata, syarikat perlu menawarkan nilai pekerjaan yang lebih menyeluruh bagi menarik dan mengekalkan bakat, termasuk memastikan pakej gaji setanding pasaran, menyediakan peluang perkembangan kerjaya serta melabur dalam pembangunan kemahiran kritikal.-UTUSAN











