Kerja sambilan tidak halang Fariza raih Anugerah Diraja USM

Kerja sambilan tidak halang Fariza raih Anugerah Diraja USM

Tharmini (kiri) menerima Anugerah Pingat Emas Canselor; Fariza Mohd. Fauzan (Anugerah Pelajaran Diraja Majlis Raja-Raja Malaysia bagi kategori Bumiputera) dan graduan kategori pelajar kelainan upaya (PKU), Ong Zhi Lin, (Hadiah Pingat Emas) dalam sidang akhbar khas Upacara Konvokesyen Ke-64 USM, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kesibukan antara kuliah, ulang kaji dan bekerja sambilan sebagai barista tidak menghalang graduan Universiti Sains Malaysia (USM), Fariza Mohd Fauzan, 24, meraih kejayaan cemerlang apabila me­nerima Anugerah Pelajaran Diraja Majlis Raja-Raja Malaysia bagi kategori Bumiputera.

Fariza dari Dungun, Terengganu menerima pengiktirafan itu selepas menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) sekali gus membuktikan komitmen dan pengurusan masa yang baik mampu membawa kejayaan walaupun berdepan tuntutan kewangan.

Menurutnya, sepanjang pengajian, dia bekerja sambilan sebagai barista di sebuah kafe di dalam kampus USM bagi meringankan beban kewangan keluarga selain memperoleh pengalaman di luar bilik kuliah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, dia mula bekerja pada semester empat selepas berjaya menyesuaikan diri dengan ja­dual pengajian dan menguruskan masa dengan lebih teratur termasuk mengulang kaji pelajaran pada waktu malam selepas selesai bekerja.

‘’Saya akan mengutamakan perkara yang lebih penting terlebih dahulu. Selepas habis kuliah, saya pergi bekerja dan pada waktu malam barulah saya mengulang kaji pelajaran. Saya juga tidak pernah ponteng kelas walaupun bekerja sambilan,’’ katanya pada sidang media khas Upacara Konvokesyen Ke-64 Universiti Sains Malaysia (USM) di sini semalam.

Fariza berkata, sebahagian wang hasil kerja sambilan itu turut disalurkan kepada keluarga memandangkan dua lagi adiknya masih belajar, manakala peluang mengikuti pengajian di USM turut dibantu menerusi inisiatif Siswa Sulung USM yang menanggung yuran pengajian kecuali yuran penginapan.

Seorang lagi graduan, Thar­mini, 23, menerima Anugerah Pingat Emas Canselor selepas menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan (Kepujian).

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, dia kini bekerja sebagai penolong penyelidik di Universiti Malaya (UM) dan merancang menyambung pengajian ke pe­ringkat sarjana atau doktor falsafah (PhD) bagi merealisasikan cita-citanya menjadi penyelidik.

Menurutnya, dia berminat meneroka bidang penyelidikan farmakogenetik dan neurosains, selain berharap dapat menyumbang kepada perkembangan penyelidikan kesihatan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Dalam perkembangan sama, graduan kategori pelajar kurang upaya, Ong Zhi Lin, 24, menerima Hadiah Pingat Emas Universiti Sains Malaysia selepas menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian).

Zhi Lin yang berasal dari Segamat, Johor dan merupakan pelajar autisme berkata, dia berdepan cabaran mengikuti kuliah yang panjang namun berusaha memahami pelajaran dengan mendapatkan penerangan lanjut daripada pensyarah dan membuat rujukan melalui Google serta YouTube.

Dia yang memperoleh PNGK 3.82 berkata, pendekatan memahami dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari lebih penting berbanding sekadar menghafal, selain aktif menyertai beberapa persatuan sepanjang tiga tahun pengajian di USM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini