PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka bergerak dalam keadaan berhati-hati minggu ini dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjurkan berada dalam julat 1,530 hingga 1,565 mata, susulan tekanan jualan global yang masih membelenggu pasaran.
Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, sentimen pelabur terus dipengaruhi tekanan terhadap saham teknologi, semikonduktor dan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
“Perkara ini berlaku apabila pasaran mula menilai semula prospek pulangan daripada pelaburan besar dalam sektor berkenaan.
“Aktiviti dagangan juga dijangka lebih selektif dengan pelabur memberi tumpuan kepada saham yang mempunyai asas kewangan kukuh, pendapatan stabil serta prospek pembayaran dividen menarik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, sektor perbankan turut menjadi perhatian berikutan pengumuman keputusan kewangan suku ketiga beberapa bank utama yang berpotensi mempengaruhi hala tuju pasaran.
“Selain itu, sektor pembinaan, utiliti dan infrastruktur dijangka mendapat sokongan daripada perkembangan pelaburan pusat data, pembangunan infrastruktur serta permintaan tenaga.
“Sektor perladangan juga berpotensi mendapat perhatian sekiranya harga minyak sawit kekal kukuh.
“Bagi saham pengguna defensif pula mungkin menjadi pilihan pelabur yang cenderung mencari aset lebih stabil ketika ketidaktentuan pasaran meningkat,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, Bursa Malaysia masih memerlukan pemangkin lebih jelas untuk mencetuskan pemulihan berterusan.
“Perkembangan data ekonomi Amerika Syarikat (AS), hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) serta keputusan kewangan syarikat tempatan akan menjadi antara faktor utama yang menentukan pergerakan pasaran minggu ini.
“Sehubungan itu, pelabur dijangka terus mengambil pendekatan berhati-hati dan tidak membuat keputusan pelaburan berdasarkan momentum pasaran semata-mata,” katanya. -UTUSAN











