Inflasi Malaysia dijangka meningkat sederhana kepada 2.0 peratus pada 2027

Inflasi Malaysia dijangka meningkat sederhana kepada 2.0 peratus pada 2027

KESINAMBUNGAN pelaksanaan subsidi bahan api bersasar dijangka membantu mengurangkan kesan kenaikan harga tenaga global terhadap kos sara hidup dan tekanan harga domestik.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Kadar inflasi Malaysia dijangka meningkat sederhana kepada 2.0 peratus pada 2027 berbanding anggaran 1.8 peratus tahun ini, didorong beberapa faktor termasuk peningkatan kos perniagaan dan permintaan domestik yang kekal berdaya tahan.

Apex Securities Bhd berkata, unjuran inflasi bagi tahun depan itu masih berada dalam julat ramalan Kementerian Kewangan (MOF) antara 1.8 hingga 2.8 peratus.

Katanya, kesinambungan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar dijangka membantu mengurangkan kesan kenaikan harga tenaga global terhadap kos sara hidup dan tekanan harga domestik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami mengekalkan unjuran inflasi setahun penuh pada 1.8 peratus bagi 2026, meskipun menaikkan andaian harga minyak mentah Brent kepada $90 setong (RM370.26) bagi 2026 dan 2027 pula $85 (RM349.69) setong sebelum ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Apex Securities berkata, risiko inflasi bagaimanapun kekal cenderung meningkat berikutan ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang berpotensi mencetuskan ketidaktentuan harga komoditi global.

“Selain itu, peningkatan kos operasi perniagaan yang disalurkan secara berperingkat kepada pengguna turut berpotensi memberi tekanan kepada harga barangan dan perkhidmatan.

“Tekanan kos itu dapat dilihat menerusi Indeks Harga Pengeluar (IHPR) yang meningkat 12.0 peratus tahun ke tahun pada September.

“Faktor lain yang boleh mempengaruhi inflasi termasuk risiko fenomena El Nino terhadap kos makanan dan elektrik, selain permintaan isi rumah yang kekal kukuh,” katanya.

Permintaan domestik itu turut disokong langkah kerajaan termasuk bantuan tunai, kenaikan gaji minimum dan pengurangan cukai secara terpilih.

Mengulas dasar monetari, Apex Securities mengekalkan jangkaan supaya Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.00 peratus pada 2027.

Menurutnya, prospek inflasi yang masih terkawal memberi ruang kepada BNM untuk mengambil pendekatan berhati-hati dan bergantung kepada data ekonomi sebelum membuat sebarang pelarasan kadar faedah.

Katanya, ketidaktentuan berkaitan kitaran pelaburan kecerdasan buatan (AI) juga boleh meningkatkan risiko terhadap pertumbuhan ekonomi, sekali gus mendorong bank pusat menilai perkembangan ekonomi semasa sebelum menentukan hala tuju dasar monetari.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini