4 tahun pentadbiran negara paling stabil

4 tahun pentadbiran negara paling stabil

KEPEMIMPINAN Anwar Ibrahim mengetuai pentabdiran berjaya menstabilkan politik dan mengukuhkan ekonomi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Perpa­duan yang dipimpin Perdana Men­teri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang genap empat tahun ha­ri ini disifatkan sebagai paling stabil selepas Pilihan Ra­ya Umum Ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.

Tempoh pentadbiran Anwar yang lebih lama berbanding tiga orang Perdana Menteri sebelum ini jelas menunjukkan kestabilan yang ada hingga dapat membantu pertumbuhan ekonomi yang konsisten di samping me­ngukuhkan kedudukannya.

Sejak menerajui negara pa­da 24 November 2022, Anwar diakui berdepan pelbagai ca­baran termasuk memulihkan ketidakstabilan, mengembalikan ke­yakinan ekonomi, menanga­ni teka­nan kos sara hidup serta me­­mastikan politik stabil eko­ran kerajaan tergan­tung se­le­pas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun dalam tempoh itu, lang­­kah memperkenalkan da­sar pembaharuan ekonomi dan fiskal menerusi Kerangka Eko­nomi Madani meningkatkan daya saing negara, menarik pe­laburan dan memperbaiki taraf hidup rak­yat berjaya membawa hasil po­sitif.

Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, penilaian terhadap empat tahun pentadbiran Anwar perlu dibuat berdasarkan ti­ga dimensi utama iaitu pres­tasi ekonomi, pembaharuan struk­tur ekonomi dan kesannya terhadap kesejahteraan rakyat.

Katanya, penilaian ekonomi tidak boleh dibuat semata-mata bersandarkan pertumbuhan Ke­­­luaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau jumlah pelaburan sebaliknya perlu diteliti daripada sudut sama ada pembaharuan dilaksanakan dapat meningkatkan produktiviti, mengurangkan ketirisan, memperkukuh kedudukan fiskal dan akhirnya meningkatkan pendapatan serta pemilikan kekayaan isi rumah.

“Dua dasar ekonomi yang penting sepanjang empat tahun pentadbiran Perdana Menteri adalah rasionalisasi dan penyasaran subsidi RON95 di bawah inisiatif BUDI95 serta reformasi fiskal dan peluasan asas hasil negara.

“Saya melihat rasionalisasi subsidi petrol RON95 dan diesel sebagai satu perubahan penting dalam pendekatan pengurusan fiskal negara.

“Sebelum ini, subsidi bahan api diberikan secara meluas, bermakna pengguna berpendapatan tinggi, pemilik kenderaan mewah dan sebahagian pengguna yang tidak memerlukan bantuan turut menikmatinya.

“Reformasi fiskal dan pelua­san asas hasil negara adalah usaha memperkukuh kedudukan kewangan kerajaan melalui pembaharuan fiskal termasuk peluasan asas hasil, pengurusan perbelanjaan dan pengurangan defisit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, Malaysia telah lama menghadapi masalah asas fiskal, iaitu keperluan perbelanjaan kerajaan yang semakin me­ningkat sedangkan hasil negara masih relatif rendah berbanding saiz ekonominya.

Justeru, antara perubahan penting dilaksanakan adalah dengan Penguatkuasaan Akta Ke­wangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023; pelaksanaan semula cukai perkhidmatan dan perluasan skop cukai; pengukuhan pentadbiran dan pematuhan cukai; pengurangan subsidi tidak bersasar dan usaha mengawal pertumbuhan perbelanjaan operasi kerajaan.

“Kenapa dasar ini penting? Kerajaan tidak boleh selama-lamanya membiayai pemba­ngunan melalui pinjaman. Kita memerlukan hasil yang lebih mampan supaya kerajaan mempunyai kemampuan membiayai pembangunan tanpa terus me­ningkatkan beban hutang.

“Pembaharuan fiskal sepatutnya bukan sekadar mengurangkan perbelanjaan, tetapi meningkatkan produktiviti se­tiap ringgit yang dibelanjakan oleh kerajaan.

“Pada masa sama, kerajaan perlu bergerak ke arah ekonomi yang menghasilkan lebih banyak kekayaan dan pendapatan bercukai, bukannya terlalu bergantung kepada peningkatan kadar cukai,” katanya.

Dalam aspek pelaburan, terdapat perkembangan ketara apabila Malaysia merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM1.49 trilion sejak tahun 2023 sehingga September 2026.

Bagi tahun 2025, pelaburan asing diluluskan berjumlah RM207.1 bilion meningkat 20.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. Rekod itu adalah petunjuk bahawa Malaysia masih mempunyai daya tarikan sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.

Bagaimanapun, kemakmuran ekonomi tidak hanya disumbangkan oleh pelaburan semata-mata sebaliknya kestabilan politik di bawah pentadbiran Anwar juga menjadi faktor keyakinan pelaburan asing untuk menjadikan Malaysia destinasi pilihan.

Kerajaan Perpaduan yang menghimpunkan gabungan parti termasuklah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)

Pendekatan merentas parti itu turut diperlihatkan menerusi pemeteraian Perjanjian Persefahaman Kerjasama (CSA) antara Kerajaan Perpaduan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang mengukuh­kan lagi kestabilan sokongan politik Perdana Menteri.

Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, Perdana Menteri memperlihatkan keupayaannya menguruskan politik melalui pendekatan rundingan, diplomasi dan prakmatisme.

Katanya, beliau berjaya me­ngekalkan kerjasama parti-parti politik yang dahulunya pernah berseteru serta memastikan ke­rajaan terus berfungsi dalam landskap politik yang dinamik.

“Namun, kekuatan kepimpinan bukan sekadar kemampuan mengumpulkan sokongan Ahli Parlimen tetapi juga kebijaksanaan mengurus perbezaan dalaman, tekanan ekonomi dan cabaran geopolitik.

“Kekuatan Anwar adalah keupayaannya mengekalkan kerajaan dalam keadaan politik yang tidak mudah. Cabaran seterus­nya adalah memastikan sokongan politik itu diterjemahkan kepada keyakinan rakyat dan pencapaian reformasi.

“Empat tahun pertama ialah ujian untuk membina kestabilan tetapi tahun-tahun seterusnya mesti menjadi ujian keberhasilan. Kerajaan tidak boleh hanya berjaya mempertahankan kuasa, sebaliknya mesti membuktikan kuasa itu digunakan untuk me­lakukan perubahan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini