PETALING JAYA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang mengkaji keperluan untuk mendapatkan mesin pengimbas badan yang dilengkapi teknologi canggih bagi membendung isu penyeludupan di setiap pangkalan udaranya.
Langkah tersebut sebahagian daripada ruang penambah baikkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, keperluan perolehan mesin tersebut bagaimanapun bergantung kepada keperluan dan kos.
“Setakat ini SOP sedia ada sudah mencukupi dan ia sangat ketat. Apatah lagi dengan adanya mesin pengimbas barangan dan mesin pengimbas badan sebagaimana yang ada di lapangan terbang awam di negara kini.
“Bagaimanapun jika ada ruang lain yang perlu ditambah baik dan sekiranya kita dapati perlunya ada mesin pengimbas badan berteknologi tinggi seperti di luar negara, kita akan cuba untuk mendapatkannya. Walau apa pun ia bergantung kepada kos dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti insiden penemuan dadah di Bangunan Pergerakan Udara (AMS), Pangkalan Udara Subang, baru-baru ini.
Semakan itu turut bertujuan menentukan sama ada kegiatan berkenaan merupakan kes terpencil atau menjadi budaya dalam organisasi TUDM.
Menurutnya, jawatankuasa tersebut akan mengenal pasti sebarang kelemahan dalam prosedur keselamatan selain menyiasat kemungkinan terdapat anggota lain yang bersekongkol dengan sindiket berkenaan.
Dalam pada itu, Muhamad Norazlan berkata, TUDM akan memastikan setiap anggota yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dan SOP dipatuhi daripada masa ke semasa.
“Kita sudah ada mesin pengimbas barangan dan badan yang sedia ada. Jadi anggota yang memeriksa akan bertanggungjawab. Paparan barangan terlarang akan memberi signal sekiranya ada kes penyeludupan barangan.
“Seandainya anggota tersebut terlibat dengan masalah disiplin atau ketirisan, maka akan terjadi hal yang tidak sepatutnya. Sebab itu kita mahu anggota juga memainkan peranan,” jelasnya.
Muhamad Norazlan berkata, menerusi jawatankuasa yang akan ditubuhkan nanti, pihak TUDM dan kementerian akan mengenal pasti sekiranya terdapat perkara lain yang perlu diteliti penambahan SOP lain.
“Apa-apa pun tunggu kepada perbincangan dalam jawatankuasa itu nanti,” ujarnya. – UTUSAN











