JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menamakan Menteri Pertanian, Andi Amran Sulaiman dan Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Sugiono sebagai dua calon bagi menggantikan bekas gandingannya, Gibran Rakabuming Raka sebagai naib presiden.
Keputusan itu dibuat selepas hampir dua minggu pertimbangan susulan peletakan jawatan Gibran.
“Selaras dengan peruntukan Perlembagaan dan peraturan pentadbiran negara, saya mengemukakan dua nama untuk dipertimbangkan dan dipilih oleh Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) sebagai naib presiden bagi baki penggal sehingga 2029,” kata Prabowo pada 23 November ketika menyerahkan secara rasmi nama kedua-dua calon kepada MPR.
Pencalonan itu menyusul pelbagai spekulasi dan beberapa siri pertemuan antara Prabowo dengan pemimpin parti dalam gabungan pemerintahannya serta anggota Parti Gerindra.
Menjelang pengumuman itu, semua parti dalam gabungan berkenaan memaklumkan tidak akan mengemukakan calon masing-masing untuk dipertimbangkan Prabowo, sekali gus menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada presiden.
“Pertimbangan saya hanya berdasarkan merit, khidmat dan kesetiaan kepada negara, selain keyakinan bahawa mereka akan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin,” katanya.
Sugiono, yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar dan merupakan anggota lama Parti Gerindra, sering digambarkan sebagai ‘anak ideologi’ Prabowo.
Sementara itu, Andi Amran merupakan ahli perniagaan terkemuka yang berkhidmat sebagai Menteri Pertanian sejak 2014.
MPR dijadual mengadakan pengundian dalam sidang pleno pada 11 Disember ini bagi memilih calon berkenaan. Calon yang memperoleh undi majoriti mudah akan dilantik sebagai naib presiden.
Gibran yang sebelum ini memegang jawatan naib presiden secara rasmi mengemukakan peletakan jawatannya kepada MPR pada 12 November lalu, sekali gus menamatkan tugasnya secara mengejut sebelum separuh penggal lima tahun beliau bersama Prabowo berakhir.
Peletakan jawatan itu berlaku ketika anggota Parlimen bersiap sedia membincangkan usul pemecatan terhadapnya berhubung dakwaan mengenai kelayakan akademiknya.
Mahkamah Agung pada Oktober memutuskan sijil kesetaraan sekolah menengah atas milik Gibran, yang digunakan untuk mendaftar sebagai calon naib presiden pada 2023, tidak sah sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kelayakannya memegang jawatan itu.
Ia merupakan kali kedua dalam sejarah Indonesia seorang naib presiden meletakkan jawatan sebelum tamat penggal.
Kejadian pertama berlaku pada 1955 apabila tokoh pengasas Indonesia, Mohammad Hatta meletakkan jawatan akibat perbezaan politik dengan Presiden ketika itu, Sukarno.
Memandangkan keadaan luar biasa itu, proses pemilihan pengganti turut berdepan beberapa halangan.
Mengikut Undang-Undang Lembaga Perwakilan Rakyat, nama calon perlu dikemukakan sekurang-kurangnya 14 hari bekerja sebelum sidang pleno berlangsung.
MPR pada awalnya menjadualkan sidang berkenaan pada 2 Disember, namun menangguhkannya ke 9 Disember kerana Prabowo berada di luar negara bagi menghadiri sidang kemuncak ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dari 15 hingga 20 November.
Susulan kritikan beberapa pakar Perlembagaan, sidang itu sekali lagi ditangguhkan ke 11 Disember, hanya beberapa jam sebelum Prabowo mengemukakan nama calon pilihannya.
Walaupun berdepan beberapa masalah dalam proses berkenaan, Prabowo berkata, perkembangan itu membuktikan Indonesia menghormati kedaulatan undang-undang.
“Saya ingin menegaskan sepanjang 81 tahun kemerdekaan, kita telah mengharungi pelbagai ujian dan berdepan banyak gangguan. Namun, alhamdulillah, kita berjaya membuktikan kepada dunia bahawa sistem politik dan perundangan Indonesia berfungsi dengan baik,” katanya.
Penyelidik politik kanan Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional, Firman Noor berkata, perbezaan latar belakang kedua-dua calon bermakna keputusan kini bergantung kepada kecenderungan MPR sama ada mengutamakan kestabilan politik atau penyelesaian praktikal terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi Indonesia.
“Saya menjangkakan MPR sedar mereka akan dilihat kurang baik sekiranya memilih seseorang yang dianggap sebagai calon semata-mata atas pertimbangan politik,” katanya kepada The Straits Times.
Sugiono, 47, dilahirkan di Aceh kepada ibu bapa berketurunan Jawa dan pernah berkhidmat sebagai pegawai tentera sebelum menyertai Parti Gerindra sejak penubuhannya pada 2008.
Hubungannya dengan Prabowo bermula lebih awal ketika beliau masih menjadi kadet tentera.
Prabowo yang ketika itu merupakan komander pasukan khas tentera memilih Sugiono sebagai salah seorang penerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat (AS).
Selepas berkhidmat selama dua tahun dalam tentera, Sugiono meletakkan jawatan pada 2004 sebelum menjadi setiausaha peribadi Prabowo empat tahun kemudian.
Sementara itu, Andi Amran, 58, yang berasal dari Sulawesi Selatan mempunyai pengalaman panjang dalam industri pertanian dan mengasaskan Kumpulan Tiran pada 1998.
Kumpulan itu menjalankan perniagaan dalam beberapa sektor termasuk agribisnes, perlombongan dan perdagangan.
Beliau dilantik sebagai Menteri Pertanian oleh Presiden ketika itu, Joko Widodo pada 2014 dan merupakan antara segelintir anggota Kabinet yang masih kekal memegang jawatan di bawah pentadbiran Prabowo.
Walaupun mempunyai latar belakang berbeza, penganalisis politik Universiti Negeri Jakarta, Ubedilah Badrun menyifatkan kedua-dua calon sebagai individu yang setia kepada Prabowo.
“Jadi, saya fikir Prabowo selesa dengan mana-mana calon,” katanya kepada The Straits Times.
Ubedilah berkata, keputusan pemilihan itu mungkin turut bergantung kepada sama ada MPR menganggap perwakilan dari wilayah timur Indonesia sebagai faktor penting.
“Jika itu menjadi pertimbangan, mereka mungkin memilih Andi Amran sebagai wakil Indonesia timur bagi memastikan wajah republik ini mencerminkan kedua-dua bahagian barat dan timur negara,” katanya.











