JAKARTA: Polis Indonesia merampas kira-kira 600 tan dadah dalam operasi di seluruh negara sejak Oktober lalu, jumlah yang didakwa berpotensi mencatat rekod dunia.
Ketua Polis Negara, Suyudi Ario Seto berkata, rampasan itu dibuat menerusi operasi yang dipergiatkan bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah di seluruh negara.
Bagaimanapun, dakwaan jumlah rampasan itu sebagai rekod dunia masih belum disahkan secara bebas.
“Ini mungkin rekod kebangsaan, malah mungkin juga rekod dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Suyudi yang mula memegang jawatan pada 1 Oktober lalu berkata, beliau mengarahkan semua ketua polis wilayah mempergiat operasi terhadap pengedar dadah dan sindiket penyeludupan.
Arahan itu turut merangkumi usaha mengenal pasti kawasan kejiranan yang menjadi pusat utama pengedaran dadah bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang terbabit.
“Saya mengarahkan semua ketua polis wilayah memetakan kawasan kejiranan yang menjadi pusat pengedaran dadah di wilayah masing-masing serta menahan pengedar utama yang beroperasi di situ,” katanya.
Selain membanteras kegiatan pengedaran dalam negara, Polis Negara Indonesia turut mempergiat usaha melumpuhkan sindiket dadah antarabangsa yang beroperasi merentasi sempadan negara.
Satu daripada siasatan utama polis menyasarkan rangkaian penyeludupan dadah yang didakwa menghubungkan Indonesia dan Malaysia serta beroperasi di beberapa wilayah termasuk Madura, Surabaya dan Kalimantan.
Polis menahan empat suspek yang dipercayai memainkan peranan berbeza dalam rangkaian itu, selain merampas aset bernilai kira-kira 150 bilion rupiah (RM37.7 juta) yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah.
Rampasan aset itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk mengesan dan mendapatkan semula hasil yang dipercayai diperoleh menerusi kegiatan pengedaran dadah, bukan sekadar menumpukan tindakan terhadap penahanan suspek.
Suyudi berkata, siasatan terhadap kes berkaitan rampasan dadah yang dilaporkan mencecah 600 tan itu masih diteruskan, dengan pegawai penyiasat berusaha mengenal pasti individu serta rangkaian lain yang mungkin terbabit.- AGENSI










