24 beg mayat dikeluarkan dari kilang terbakar

24 beg mayat dikeluarkan dari kilang terbakar

ANGGOTA penyelamat membawa beg mayat yang mengandungi mangsa kebakaran kilang gula-gula di Kabupaten Serang, wilayah Banten, semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Polis Indonesia mengeluarkan 24 beg mayat dari runtuhan sebuah kilang gula-gula yang musnah dalam kebakaran di Cikande, daerah Serang, Pulau Jawa semalam.

Anggota bomba masih berusaha memadamkan beberapa titik kebakaran yang belum berjaya dikawal, sehari selepas kebakaran memusnahkan bangunan kilang berkenaan.

Operasi mencari puluhan pekerja yang masih hilang bagaimanapun ditangguhkan sepanjang malam sebelum disambung semula pada Isnin pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kebakaran berlaku pada petang Sabtu di kilang PT Fonusa Agung Mulia yang terletak di Cikande. Kilang itu merupakan sebahagian daripada syarikat pengeluar makanan United Family Food yang ditubuhkan pada 1981, menurut laman web syarikat berkenaan.

Rakaman Metro TV menunjukkan ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan dan menangis di luar kawasan kilang sementara menunggu perkembangan mengenai nasib saudara-mara mereka yang dikhuatiri terperangkap dalam kebakaran itu.

Ketua Polis wilayah Banten, Hendra Kurniawan, berkata operasi mencari dan menyelamat dijadualkan disambung semula pada pagi Isnin, lapor Metro TV.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kilang berkenaan, Steven Erwin Wijaya berkata, kira-kira 300 pekerja berada di premis itu ketika syif pada Sabtu.

Dalam kenyataan berasingan, pihak kilang memaklumkan bahawa daripada 65 pekerja yang terlibat dalam kejadian itu, seramai 24 sudah pulang ke rumah, empat sedang menerima rawatan perubatan manakala 29 lagi masih hilang dan nasib lapan pekerja selebihnya belum dapat dipastikan.

Pada sidang media sama, pegawai unit pengecaman mangsa bencana polis, Wahyu Hidayati, berkata keadaan mayat yang ditemukan akibat kebakaran itu terlalu teruk sehingga identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan fizikal.

Sehubungan itu, pihak berkuasa sedang mengumpulkan sampel DNA daripada ahli keluarga serta barangan peribadi pekerja yang masih hilang bagi membantu proses pengecaman. Proses itu dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu.

Jumlah sebenar korban masih belum dapat dipastikan, dengan polis menjelaskan bahawa satu beg mayat berkemungkinan mengandungi anggota tubuh lebih daripada seorang mangsa.

Pihak berkuasa berkata punca kebakaran masih dalam siasatan, manakala beberapa bahagian bangunan kilang itu masih berisiko runtuh.

United Family Food mengeluarkan pelbagai produk pengguna di seluruh Indonesia, mempunyai kira-kira 5,000 pekerja dan beroperasi menerusi ibu pejabat kebangsaan serta empat pejabat antarabangsa, dengan pasaran melebihi 250 juta pengguna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini