SEMBILAN dekad kehadiran Coca-Cola di Malaysia bukan sahaja mengukuhkan kedudukannya dalam industri minuman tempatan, malah membuka ruang kepada negara memainkan peranan lebih besar sebagai hab pembuatan serantau.
Menerusi fasiliti pembuatan halal bertaraf dunia di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, produk keluaran Malaysia kini membekalkan pasaran Singapura dan Brunei, sekali gus mencerminkan potensi keupayaan industri tempatan menembusi pasaran luar.
Dengan pelaburan melebihi RM1.3 bilion dalam tempoh 15 tahun, Coca-Cola terus memperkukuh operasi menerusi teknologi, automasi dan inovasi bagi menyokong pertumbuhan perniagaan serta memperluas capaian produk buatan Malaysia.
Malaysia mempunyai kedudukan strategik dalam perancangan pertumbuhan jangka panjang syarikat di rantau ini, disokong keupayaan industri, tenaga kerja mahir serta persekitaran perniagaan yang kondusif.
Menurut beliau, fasiliti Bandar Enstek bukan sahaja menyokong permintaan pasaran tempatan, malah berperanan sebagai pusat pembuatan serantau yang membekalkan produk ke pasaran seperti Singapura dan Brunei.
Dalam usaha memperkukuh daya saing, syarikat turut memberi tumpuan kepada transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), automasi dan penggunaan teknologi berasaskan data bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran serta rantaian bekalan.
Beliau berkata, perubahan cita rasa pengguna, termasuk peningkatan permintaan terhadap minuman rendah dan tanpa gula serta inovasi pembungkusan, turut membuka peluang baharu kepada industri minuman negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Ikuti wawancara Wartawan Utusan Malaysia, Zakkina Wati Ahmad Tarmizi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola Bottling Investments Group (BIG) Asia Tenggara, Singapura, Malaysia, Myanmar dan Brunei, Tolga Cebe mengenai peranan Malaysia dalam strategi pertumbuhan serantau Coca-Cola, hala tuju pelaburan serta prospek industri minuman negara.
UTUSAN: Coca-Cola telah melabur lebih RM1.3 bilion di Malaysia dalam tempoh 15 tahun lalu. Adakah syarikat merancang pelaburan tambahan atau peluasan kapasiti dalam masa terdekat?
TOLGA CEBE: Pelaburan kami di Malaysia merangkumi lebih daripada sekadar fasiliti pembuatan. Kami terus melabur dalam aspek yang penting untuk pertumbuhan masa depan, khususnya pembangunan modal insan, teknologi dan operasi mampan.
Teknologi hanya berkesan apabila digunakan oleh tenaga kerja yang mempunyai kemahiran dan keupayaan sewajarnya.
Justeru, kami terus melabur dalam pembangunan bakat seiring transformasi digital, AI dan teknologi berasaskan data.
Gabungan kepakaran manusia dengan teknologi membolehkan pasukan kami membuat keputusan lebih baik, mengenal pasti peluang baharu, menjangkakan perubahan keperluan pengguna serta mempercepatkan inovasi perniagaan.
Kami juga melabur dalam teknologi pintar dan operasi lebih mampan merentasi keseluruhan rantaian nilai.
Ini termasuk penggunaan peti sejuk pintar yang berhubung secara digital bagi menyediakan maklumat masa nyata untuk meningkatkan perancangan dan pelaksanaan operasi.
Selain itu, pelaburan dalam teknologi yang meningkatkan kecekapan pembuatan, mengurangkan pelepasan karbon serta mengoptimumkan logistik dan penyelesaian pembungkusan membolehkan kami berkembang secara bertanggungjawab sambil memberikan nilai lebih besar kepada pelanggan dan pengguna.
Kami kekal yakin terhadap potensi jangka panjang Malaysia dan akan terus melabur dalam keupayaan, teknologi serta infrastruktur yang diperlukan bagi menyokong pertumbuhan masa depan.
Bagaimanakah prospek industri minuman Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang?
Industri minuman Malaysia mempunyai peluang pertumbuhan yang besar dalam tempoh sedekad akan datang.
Pilihan pengguna terus berubah dan mewujudkan permintaan terhadap lebih banyak pilihan, perisa inovatif serta minuman yang memenuhi cita rasa, pelbagai situasi dan gaya hidup berbeza, termasuk pilihan rendah dan tanpa gula.
Pada masa sama, minat terhadap inovasi pembungkusan yang menawarkan kemudahan penggunaan serta menyokong matlamat kelestarian juga semakin meningkat.
Kejayaan industri pada masa depan bergantung kepada keupayaan syarikat untuk sentiasa memahami pengguna dan mengikuti perubahan keperluan mereka.
Atas sebab itu, kami memberi tumpuan kepada usaha memperluas pilihan pengguna, memacu inovasi dalam portfolio produk serta memastikan produk kami mudah diperoleh pada bila-bila masa dan di mana sahaja pengguna memerlukannya.
Pada akhirnya, kekal relevan bermaksud menyediakan minuman yang dikehendaki pengguna, dalam format pilihan mereka dan memastikan produk tersebut sentiasa mudah diperoleh.
Kami percaya inovasi berterusan serta keupayaan bertindak balas terhadap perubahan permintaan pengguna akan meletakkan industri ini pada landasan pertumbuhan mampan.
Apakah yang menjadikan fasiliti Bandar Enstek begitu penting kepada operasi serantau Coca-Cola?
Kami berbangga mengendalikan fasiliti pembuatan halal bertaraf dunia di Enstek Halal Park yang mencerminkan kepimpinan Malaysia dalam kecemerlangan industri halal.
Operasi yang mematuhi piawaian ketat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkukuh keyakinan pengguna terhadap produk kami dan menyediakan asas kukuh untuk membekalkan pasaran di seluruh rantau ini.
Lokasi strategik Bandar Enstek, infrastruktur yang kukuh serta jaringan perhubungan yang baik menjadikannya hab ideal untuk operasi kami di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Sokongan Kerajaan Negeri Sembilan dan InvestNS, bersama tenaga kerja tempatan yang mahir serta pelaburan berterusan dalam teknologi dan inovasi, turut mewujudkan persekitaran yang membolehkan kami berkembang dengan yakin.
Keadaan ini meletakkan Malaysia sebagai penyumbang penting kepada aspirasi pertumbuhan serantau kami, dengan produk yang dihasilkan di negara ini dapat dinikmati pengguna di seluruh rantau.
UTUSAN MALAYSIA: Sejauh manakah pelaburan dalam automasi, pendigitalan dan AI meningkatkan kecekapan operasi serta prestasi perniagaan di kilang Bandar Enstek?
TOLGA CEBE: Pelaburan dalam automasi, pendigitalan dan AI di Bandar Enstek membantu mewujudkan operasi yang lebih bersepadu dan responsif.
Teknologi ini membolehkan kami mengurus pengeluaran, inventori dan pengedaran dengan lebih tepat serta fleksibel.
Antara contohnya ialah penggunaan Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS) yang memperkukuh operasi gudang menerusi peningkatan ketepatan inventori, kecekapan serta pergerakan produk yang lebih pantas sepanjang rantaian bekalan.
Pelaburan teknologi ini bukan hanya tertumpu kepada proses pembuatan.
Melalui penyelesaian komersial digital seperti Coke Buddy, yang membolehkan interaksi lebih lancar dan masa nyata bersama pelanggan, teknologi membantu menghubungkan pelbagai bahagian rantaian nilai, daripada pengeluaran dan logistik sehingga perkhidmatan pelanggan serta pelaksanaan di pasaran.
Hasilnya, kami mempunyai operasi yang lebih tangkas untuk bertindak balas dengan pantas terhadap keperluan pelanggan, meningkatkan tahap perkhidmatan serta memastikan produk dapat dihantar dengan lebih berkesan ke pasaran yang kami kendalikan.
Adakah Coca-Cola merancang meningkatkan eksport minuman yang dihasilkan di Malaysia ke pasaran serantau atau antarabangsa?
Bandar Enstek sememangnya sudah berfungsi sebagai hab pembuatan serantau yang menyokong pasaran seperti Singapura dan Brunei.
Sebagai sebahagian daripada rangkaian operasi serantau Coca-Cola yang saling berhubung, kami sentiasa menilai peluang untuk memanfaatkan keupayaan Malaysia apabila ia bersesuaian dengan keperluan perniagaan.
Kami mengalu-alukan peluang untuk memperluas capaian produk yang dihasilkan di Malaysia ke pasaran lebih luas, sejajar perkembangan permintaan pasaran dan keperluan perniagaan.
Bagaimanakah syarikat mengurus cabaran seperti peningkatan kos bahan mentah, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan mata wang?
Persekitaran operasi sentiasa berubah, lebih-lebih lagi dalam keadaan ketidaktentuan yang semakin ketara ketika ini susulan gangguan geopolitik yang memberi kesan besar terhadap kos bahan mentah, dinamik rantaian bekalan dan pergerakan mata wang.
Ini merupakan realiti yang dihadapi perniagaan merentasi pelbagai industri. Tumpuan kami adalah untuk kekal tangkas dan mengurus faktor yang berada dalam kawalan kami.
Ini bermakna kami perlu membuat perancangan lebih awal dengan mengambil kira pelbagai senario risiko dan peluang, bekerjasama rapat dengan pembekal serta pelanggan, selain terus menambah baik kaedah operasi.
Kami juga melabur dalam pembangunan keupayaan perniagaan, khususnya modal insan, teknologi dan kecemerlangan operasi bagi memperkukuh daya tahan syarikat dalam jangka panjang.-UTUSAN











