PEMBANGUNAN ladang solar yang semakin pesat perlu disokong oleh kesiapsiagaan infrastruktur tenaga negara bagi memastikan bekalan elektrik yang dijana dapat disalurkan secara cekap dan stabil.
Kekangan kapasiti grid, kos penyambungan serta keperluan teknologi penyimpanan tenaga antara cabaran utama yang perlu ditangani bagi memastikan potensi industri solar dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Penyelidik Utama Pusat Penyelidikan Kilat, Kuasa dan Tenaga Termaju (ALPER), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Ir. Dr. Mohd Zainal Ab. Kadir berkata, pembangunan ladang solar perlu disokong infrastruktur penghantaran elektrik yang mencukupi bagi memastikan tenaga dijana dapat disalurkan kepada pengguna.
Menurutnya, pemasangan panel solar boleh dilaksanakan dalam tempoh satu hingga dua tahun, namun pembangunan talian penghantaran dan pencawang elektrik mengambil masa lebih panjang kerana memerlukan perancangan, kelulusan serta pembinaan.
“Keadaan ini boleh menyebabkan projek solar baharu berdepan kelewatan sambungan sekiranya kapasiti grid di kawasan berkenaan sudah hampir mencapai had, sekali gus mengehadkan jumlah tenaga yang boleh disalurkan.
“Cabaran turut timbul apabila kebanyakan ladang solar dibangunkan di kawasan luar bandar yang mempunyai tanah luas dan lebih murah, sedangkan permintaan elektrik tertumpu di kawasan perindustrian, pusat data dan bandar raya.
“Justeru, pembangunan ladang solar perlu mengambil kira keupayaan grid di lokasi berkenaan, termasuk keperluan membina talian penghantaran bagi menghubungkan pusat penjanaan dengan kawasan pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, selain infrastruktur, pengeluaran tenaga solar yang bergantung kepada cahaya matahari dan keadaan cuaca turut menjadi cabaran kepada kestabilan bekalan elektrik.
“Perubahan cuaca secara mendadak seperti hujan lebat dan ribut petir boleh menyebabkan pengeluaran tenaga solar menurun dalam tempoh singkat, sekali gus memerlukan sumber tenaga lain bagi menampung kekurangan bekalan.
“Keadaan itu menjadikan sistem penyimpanan tenaga bateri berskala besar (BESS) semakin penting bagi menyimpan lebihan tenaga yang dijana pada waktu siang untuk digunakan ketika pengeluaran solar berkurangan, khususnya pada waktu malam.
“Bagaimanapun, pembangunan talian penghantaran baharu, naik taraf pencawang dan pemasangan kemudahan bateri memerlukan pelaburan besar yang perlu dirancang supaya tidak meningkatkan kos sistem bekalan elektrik secara berlebihan,” ujarnya.
Mohd Zainal berkata, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah menyelaraskan perancangan pembangunan ladang solar dengan kapasiti grid sejak peringkat awal, selain mengutamakan kawasan yang mempunyai keupayaan rangkaian mencukupi.
“Projek solar berskala besar juga boleh digalakkan untuk dilengkapi sistem penyimpanan bateri bagi membantu menstabilkan bekalan, manakala penggunaan panel solar di bumbung kilang, gudang, pasar raya dan bangunan kerajaan boleh diperluas kerana lokasinya lebih hampir dengan pengguna.
“Selain itu, pembangunan solar terapung di tasik dan empangan boleh dimanfaatkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada tanah, manakala teknologi pemantauan dan ramalan cuaca dapat membantu pengendali grid membuat persediaan menghadapi perubahan pengeluaran tenaga,” jelasnya.
Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, infrastruktur tenaga negara secara keseluruhannya masih belum bersedia sepenuhnya untuk menampung perkembangan ladang solar yang semakin pesat, khususnya dari segi kapasiti grid pengagihan.
Beliau berkata, grid penghantaran utama negara yang beroperasi pada voltan 500 kilovolt (kV) dan 275kV masih berada dalam keadaan kukuh, disokong pelaburan besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Bagaimanapun, kekangan lebih ketara berlaku pada peringkat grid pengagihan 33kV dan 11kV, terutama di kawasan luar bandar yang menjadi lokasi pembangunan ladang solar.
Katanya, infrastruktur grid di negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan dan Sabah kebanyakannya dibangunkan kira-kira 30 tahun lalu untuk memenuhi keperluan kampung serta industri berskala kecil, bukannya menampung kemasukan tenaga solar dalam kapasiti ratusan megawatt (MW).
“Pada masa ini, terdapat beberapa lokasi yang pencawangnya sudah mencapai kapasiti maksimum. Pemaju terpaksa menunggu antara dua hingga tiga tahun untuk kerja naik taraf atau membina pencawang sendiri yang memerlukan kos sehingga jutaan ringgit.
“Anggaran saya, tahap kesiapsiagaan grid penghantaran negara sekitar 70 peratus, manakala grid pengagihan hanya 40 hingga 50 peratus. Jurang inilah yang menjadi antara halangan terbesar kepada perkembangan industri solar,” katanya.
Beliau berkata, ketidakselarasan tempoh pembangunan ladang solar dengan penyediaan infrastruktur grid turut berisiko menjejaskan operasi projek berkenaan.
“Ini kerana pembangunan ladang solar lazimnya mengambil masa antara 12 hingga 18 bulan untuk disiapkan, sedangkan kerja naik taraf grid boleh mengambil masa tiga hingga lima tahun.
“Jika kedua-dua jadual pembangunan ini tidak diselaraskan, negara berisiko mempunyai banyak ladang solar yang sudah siap tetapi tidak dapat beroperasi pada kapasiti penuh,” katanya.-UTUSAN











