PETALING JAYA: Negeri-negeri Pantai Timur diramal mula dilanda banjir esok sehingga Khamis ini berdasarkan analisis data hidrologi dan simulasi model ramalan banjir di Kelantan dan Terengganu.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, bagaimanapun, bah boleh berlaku di kedua-dua negeri lebih awal atau lewat dari masa dijangkakan.
Antara penempatan berisiko dinaiki air adalah lembangan sungai terutamanya lokasi titik panas dan kawasan rendah.
Di Kelantan, jajahan yang dijangka terlibat ialah Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat.
Untuk Jeli, lokasi berisiko membabitkan Lembangan Sungai Golok termasuk Sungai Buloh, Sungai Lanas, Sungai Legeh dan Sungai Satan.
Bagi Pasir Mas, kawasan terbabit merangkumi Sungai Golok, Sungai Bunut Susu, Sungai Meranti, Sungai Tandak, Sungai Kedotok, Sungai Lanchang, Tasik Garu, Tasik Danau To’ Uban, Sungai Rengas, Sungai Lemal dan Sungai Lemal Mati.
Sementara itu, di Tanah Merah, kawasan yang dikenal pasti ialah Sungai Golok, Sungai Jegor, Sungai Manal, Sungai Jedok, Sungai Air Bujing dan Sungai Lanas.
Di Tumpat pula, kawasan berisiko membabitkan Sungai Golok, Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Mentua, Sungai Gali, Sungai Kelaboran dan Sungai Tapang.
Dalam pada itu, di Terengganu, tujuh daerah diramalkan terlibat iaitu Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Kuala Nerus, Marang, Dungun dan Kemaman.
Di Kuala Terengganu, banjir berisiko berlaku di sekitar Lembangan Sungai Terengganu dan Lembangan Sungai Ibai.
“Di Besut, kawasan terlibat adalah di Lembangan Sungai Besut dan Keluang melibatkan Sungai Besut, Pengkalan Nyireh, Ruar, Peng, Kemia dan Keluang Besar.
“Daerah Setiu melibatkan Lembangan Sungai Setiu dan Sungai Terengganu iaitu di Sungai Setiu, Chalok, Guntung, Ima Hitam, Nerus dan Pelong.
“Daerah Kuala Nerus pula melibatkan Lembangan Sungai Terengganu iaitu Sungai Terengganu dan Nerus,” kata JPS.
Sementara itu, di Marang, banjir berpotensi berlaku di Lembangan Sungai Marang, Lembangan Sungai Ibai dan Lembangan Sungai Merchang.
“Di Dungun pula melibatkan Lembangan Sungai Dungun, Lembangan Sungai Paka dan Lembangan Sungai Sura manakala di Kemaman merangkumi kawasan di Lembangan Sungai Kemaman dan Lembangan Sungai Kemasik.
“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana,” katanya.
Penduduk di beberapa buah kampung di Kelantan telah memulakan persiapan menghadapi banjir susulan ramalan hujan berterusan hingga Khamis.
Persiapan itu termasuklah memindahkan barang ke dalam rakit dan di atas loteng, selain membeli stok makanan.
Penduduk Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang, Wan Azlina Wan Yusof, 52, berkata, persediaan awal amat penting memandangkan kawasan kediamannya sering berdepan banjir setiap kali hujan berterusan.
Katanya, dia juga sudah bersedia dengan sebuah rakit kecemasan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya barangan keperluan dapat diselamatkan, jika air memasuki rumah.
“Antara barangan yang akan dipindahkan ke atas rakit kecemasan ini termasuk peralatan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh serta pakaian.
“Dua hari lalu air Sungai Golok melepasi paras amaran tetapi keadaan masih belum mencapai tahap banjir besar seperti yang pernah dialami sebelum ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Bagi Norhayati Jusoh, 50, pengalaman berdepan banjir besar tiga tahun berturut-turut dari 2022 hingga 2024 menyebabkan dia membuat persiapan awal.
Katanya, bekalan beras, ikan kering, lilin, gas memasak sudah dibeli dan keluarganya akan berpindah ke rumah adik yang mempunyai loteng.
“Jika banjir berlaku air akan masuk ke dalam rumah hingga paras satu meter. Saya akan berpindah segera ke rumah adik di sebelah yang mempunyai loteng,” katanya.
Wakil NGO, Surani Daud, 48, pula berkata, pihaknya menyumbangkan sebanyak 20 rakit kepada penduduk di beberapa kampung sekitar Rantau Panjang.
“Antara kawasan penerima sumbangan termasuk Meranti, Banggol Kulim, Lubok Gong dan bandar Rantau Panjang,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, beberapa kawasan sudah dinaiki air semalam, susulan hujan lebat berterusan yang melanda.
Beliau mengingatkan seluruh rakyat khususnya mereka yang berada di kawasan berisiko agar sentiasa meningkatkan kewaspadaan dan mengambil langkah berjaga-jaga.
“Patuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke pusat pemindahan sementara sekiranya diarahkan. Utamakan keselamatan diri dan keluarga serta elakkan mengambil risiko yang boleh membahayakan nyawa,” katanya. – UTUSAN











