Popular tetapi berilmu - Utusan Malaysia

Popular tetapi berilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia hiburan, seseorang artis bukan sahaja dinilai berdasarkan bakat dan populariti, malah pencapaian dalam bidang akademik juga sering menjadi perhatian. Malah, terdapat beberapa selebriti yang membuktikan bahawa kerjaya seni tidak menghalang mereka daripada memperoleh pendidikan tinggi.

Menariknya, beberapa artis Indonesia berjaya melanjutkan pengajian di universiti terkemuka dalam dan luar negara, termasuk institusi berprestij seperti University of Oxford, Stanford University dan Columbia University. Ada antara mereka yang turut memperoleh keputusan akademik cemerlang sehingga meraih pengiktirafan cum laude.

Kejayaan ini sekali gus membuktikan bahawa bidang seni dan pendidikan boleh bergerak seiring. Berikut empat artis Indonesia yang bukan sahaja berbakat dalam dunia hiburan, malah turut mempunyai latar belakang akademik yang membanggakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Gita Gutawa

Penyanyi Gita Gutawa turut tergolong dalam kalangan artis yang melanjutkan pengajian ke luar negara. Selepas menamatkan persekolahan menengah, Gita menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di University of Birmingham, England.

Beliau mengambil jurusan Ekonomi sebelum meneruskan pengajian ke peringkat sarjana di London School of Economics and Political Science (LSE).
Pada peringkat sarjana, Gita mengikuti program dalam bidang Budaya dan Masyarakat (Culture and Society). Beliau turut menerima biasiswa LPDP bagi membiayai pengajian lanjutan­nya.

Febby Rastanty

Febby Rastanty dikenali sebagai seorang pelakon yang telah aktif dalam dunia hiburan sejak usia muda. Di sebalik kesibukannya sebagai pelakon sinetron dan filem, beliau tetap memberikan komitmen terhadap pendidikan tinggi.

Febby melanjutkan pengajian di Fakulti Undang-Undang, Universitas Indonesia. Beliau berjaya menamatkan pengajiannya dalam tempoh kira-kira tiga tahun setengah dan memperoleh keputusan cum laude (cemerlang).

Maudy Ayunda

Maudy Ayunda merupakan antara artis Indonesia yang dikenali kerana pencapaian akademiknya yang cemerlang. Beliau menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di University of Oxford, England, dalam bidang Politik, Falsafah dan Ekonomi (PPE).

Maudy menamatkan pengajiannya pada tahun 2016 dengan memperoleh keputusan cum laude (cemerlang). Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana di Stanford University, Amerika Syarikat, menerusi biasiswa LPDP.

Di Stanford, Maudy mengikuti program ijazah berganda (joint degree), iaitu Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Sarjana Sastera dalam Pendidikan (MA). Beliau berjaya menamatkan kedua-dua pengajian tersebut pada tahun 2021.

Cinta Laura

Cinta Laura bukan sahaja dikenali sebagai pelakon dan penyanyi, malah turut mempunyai pencapaian akademik yang membanggakan. Beliau melanjutkan pengajian di Columbia University, New York, Amerika Syarikat.

Menariknya, Cinta mengambil dua bidang pengajian secara serentak, iaitu Psikologi dan Kesusasteraan Jerman. Beliau berjaya menamatkan pengajian dalam kedua-dua bidang tersebut dalam tempoh kira-kira tiga tahun sahaja. Cinta turut memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sebanyak 3.9 dan menamatkan pengajian dengan keputusan cum laude pada tahun 2014.

Dian Sastrowardoyo

Dian Sastrowardoyo merupakan antara pelakon Indonesia yang turut mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang. Beliau melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Falsafah di Universitas Indonesia.

Selepas menamatkan pengajian peringkat sarjana muda, Dian kembali menyambung pengajian di universiti yang sama pada peringkat sarjana. Beliau mengambil program Sarjana Pengurusan dengan pengkhususan dalam bidang Pengurusan Kewangan.

Dian berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana dengan keputusan cum laude. Beberapa sumber melaporkan bahawa PNGK beliau berada dalam lingkungan 3.7, meskipun terdapat perbezaan angka yang diterbitkan, iaitu antara 3.71 hingga 3.76.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini