KUALA LUMPUR: Pemantauan terhadap muatan minyak tidak seharusnya tertumpu kepada aktiviti di atas kapal, sebaliknya turut merangkumi tangki simpanan dan kemudahan darat, kata seorang pemain industri.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, pemantauan menyeluruh penting bagi menyokong hasrat Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab perdagangan minyak dan pembekalan bahan api kapal serantau.
Menurutnya, walaupun peraturan maritim antarabangsa melarang aktiviti pengadunan minyak tertentu di atas kapal ketika pelayaran, pengendalian muatan selepas dipunggah di pelabuhan juga perlu diberi perhatian.
“Muatan minyak boleh dipindahkan antara tangki simpanan, dicampurkan dengan produk lain, diproses atau dieksport semula sebelum sampai ke destinasi akhir.
“Aktiviti sedemikian tidak semestinya menyalahi undang-undang, namun perlu mematuhi syarat kastam dan pelesenan, khususnya berkaitan dokumentasi serta pengisytiharan muatan,” katanya dalam kenyataan.
Jeyenderan turut merujuk Peraturan 5-2, Bab VI Konvensyen Antarabangsa bagi Keselamatan Nyawa di Laut (SOLAS), yang melarang pengadunan fizikal muatan cecair pukal di atas kapal ketika pelayaran.
Peraturan yang diterima pakai Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) pada Mei 2012 dan berkuat kuasa sejak 1 Jan 2014 itu turut melarang proses pengeluaran dijalankan di atas kapal.
Ini termasuk penggunaan sistem pam kapal tangki untuk mencampurkan muatan berbeza ketika pelayaran bagi menghasilkan produk petroleum baharu.
Bagaimanapun, menurut panduan diterbitkan Gard, sebuah kelab perlindungan dan indemniti (P&I), pemindahan muatan antara tangki atau pencampuran muatan sama jenis yang tidak menghasilkan produk baharu tidak dilarang.
Peraturan itu turut memberi pengecualian bagi pemindahan muatan atas faktor keselamatan kapal dan anak kapal atau bagi melindungi alam sekitar marin. Kapal yang menyokong operasi mineral dasar laut juga dikecualikan.
Walaupun istilah ‘pelayaran di laut’ tidak ditakrifkan secara khusus, industri perkapalan lazimnya mentafsirkannya sebagai tempoh kapal berada di luar had pelabuhan yang ditetapkan pihak berkuasa pelabuhan.
Sementara itu, peguam GK Ganesan berkata larangan pengadunan minyak di laut jelas, manakala pengendalian dan penyimpanan minyak di darat turut tertakluk kepada undang-undang sedia ada.
“Di laut, peraturannya jelas. Kapal tangki tidak boleh dijadikan loji penapisan minyak. Di darat, persoalannya bukan sama ada undang-undang wujud kerana undang-undang itu sememangnya ada,” katanya.
Beliau menjelaskan Seksyen 35N Akta Kastam 1967 mewajibkan pihak yang menyimpan dan mengendalikan barangan bagi tujuan pemindahan muatan merekodkan penerimaan, pengendalian, penyimpanan serta penyerahan barangan berkenaan.
“Persoalannya sama ada rekod itu disimpan dan sama ada kandungannya sepadan dengan apa yang diisytiharkan.
“Jika minyak masuk ke dalam tangki sebagai minyak mentah tetapi keluar sebagai minyak bahan api, dokumen berkaitan perlu menyatakan perubahan itu. Pengisytiharan hanya menerangkan sesuatu muatan, bukan mengubah hakikat sebenar produk berkenaan,” katanya.
Ganesan menegaskan, tiada pihak mendakwa berlaku pelanggaran undang-undang dan perkara itu tidak wajar diandaikan tanpa bukti.
Namun, katanya, ketepatan rekod dan pengisytiharan muatan penting bagi mengekalkan keyakinan terhadap operasi hab pemindahan muatan.
“Hab pemindahan muatan bergantung pada kepercayaan, dan kepercayaan itu bergantung pada rekod,” katanya.-UTUSAN











