MANCHESTER: Manchester City terus dihantui kelemahan pertahanan apabila gagal mencatat rekod tanpa bolos dalam sembilan perlawanan berturut-turut bagi semua pertandingan, sekali gus menyaksikan skuad kendalian Enzo Maresca sekadar seri 1-1 dengan Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin.
Maresca mengakui pasukannya terlalu banyak melepaskan gol dan perlu memperbaiki benteng pertahanan jika mahu kembali mencatat kemenangan, termasuk mengamankan perlawanan menerusi keputusan 1-0.
“Kami terlalu banyak melepaskan gol. Kami perlu mengelakkannya. Kami perlu memenangi perlawanan dengan keputusan 1-0 dan mencatat rekod tanpa bolos. Kami belum mampu melakukannya.
“Hampir 80 peratus gol yang kami bolosi berlaku pada awal separuh masa pertama dan kedua. Ia sesuatu yang perlu kami perbaiki,” katanya.
Fulham terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Rodrigo Muniz pada minit ke-16 selepas Marc Guehi tewas perebutan bola susulan lontaran ke dalam di kawasan sendiri, sebelum Oscar Bobb menyediakan hantaran untuk gol berkenaan.
City berpeluang menyamakan kedudukan sebelum rehat menerusi Erling Haaland, namun jaringan penyerang itu dibatalkan selepas pengadil Thomas Bramall memutuskan penjaga gol Fulham, Bernd Leno sudah mengawal bola sebelum Haaland menolaknya melepasi garisan gol.
Tuan rumah akhirnya menyamakan kedudukan menerusi jaringan voli Elliot Anderson selepas rehat, namun gagal meneruskan kebangkitan apabila tidak mencipta peluang bermakna dalam 25 minit terakhir perlawanan.
Haaland turut mensia-siakan beberapa peluang terbaik, manakala penjaga gol City, Gianluigi Donnarumma terpaksa menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Fulham bagi mengelakkan pasukannya dibolosi lebih banyak gol. – AGENSI











