JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan supaya usaha memadamkan kebakaran tanah dan hutan yang masih berlaku dipertingkatkan, dengan menekankan penggunaan sumber secara optimum dalam satu mesyuarat pada Isnin.
Pihak berkuasa berkata, Indonesia menumpukan usaha memadam kebakaran di wilayah Kalimantan Tengah dan Sumatera Selatan.
Bagaimanapun, tawaran negara jiran, Malaysia dan Singapura untuk membantu memadam kebakaran sehingga menyebabkan jerebu tidak dibincangkan dalam mesyuarat itu, menurut laporan yang memetik Menteri Penyelaras Politik dan Keselamatan, Dudung Abdurachman.
Kebakaran tanah dan hutan yang meluas berlarutan di Indonesia sejak beberapa minggu lalu, menyebabkan jerebu rentas sempadan, peningkatan masalah pernafasan di ketiga-tiga negara serta penutupan sekolah di beberapa kawasan di Malaysia, termasuk Johor.
Setiausaha Kabinet Indonesia, Teddy Indra Wijaya berkata pada Isnin bahawa lebih 60,000 anggota dikerahkan bagi menyokong operasi pemadaman di darat, selain operasi pengeboman air turut dilaksanakan.
Operasi di darat lebih diutamakan kerana helikopter sukar memasuki beberapa kawasan disebabkan asap yang terlalu tebal, kata Dudung kepada wartawan selepas mesyuarat di Istana Presiden, menurut agensi berita Antara.
Indonesia sering berdepan kebakaran hutan ketika musim kemarau.
Namun, kebakaran tahun ini semakin buruk akibat fenomena cuaca El Nino yang dijangka menjadi antara yang terkuat sejak rekod perbandingan mula dicatatkan empat dekad lalu.
Pakar turut menyalahkan amalan pembukaan tanah menggunakan kaedah tebang dan bakar yang mengubah landskap semula jadi yang sebelum ini tahan terhadap kebakaran.
Kebakaran itu menyebabkan jerebu tebal di kawasan terjejas, mengakibatkan puluhan ribu kes penyakit pernafasan, selain mencetuskan peningkatan ketara pencemaran udara serantau di Singapura dan Malaysia. – AGENSI











