KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti cadangan memperluas pelaksanaan 17 inisiatif keselamatan ke lokasi strategik negara termasuk pangkalan tentera dan pangkalan gerak udara polis, susulan kes penyeludupan dadah yang membabitkan kemudahan pengangkutan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu bagi memastikan kawalan keselamatan tidak hanya tertumpu di pintu masuk utama negara, malah turut meliputi lokasi strategik melibatkan sektor darat, laut dan udara.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menjalankan risikan terhadap lokasi berkenaan, termasuk berkongsi maklumat dengan agensi yang bertanggungjawab mengawal premis terbabit.
Katanya, dalam kes membabitkan TUDM, maklumat risikan telah dikongsi dengan pihak tentera sejak pertengahan tahun ini bagi membolehkan sebarang pergerakan mencurigakan dikesan dan dilaporkan kepada JSJN.
“Siapa yang mula-mula mengesan bagasi itu? Tentulah tentera udara. Kejayaan mengesan itu melalui perkongsian maklumat perisikan oleh bahagian narkotik kita,” katanya ketika ditemui pada Program PDRM Fun Run 2026 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Ketua Setiausaha KDN, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail dan Pengarah JSJN bagi meneliti keperluan memperluas skop 17 inisiatif keselamatan berkenaan.
Menurutnya, pelaksanaan 17 inisiatif itu dibahagikan kepada tiga fasa dengan persiapan kini memasuki fasa kedua selepas fasa pertama memberi tumpuan kepada pemeriksaan 100 peratus penumpang dan bagasi bagi penerbangan ke destinasi berisiko tinggi menjadi sasaran penyeludupan dadah.
“Fasa kedua pula memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan keselamatan di semua pintu masuk negara menerusi penambahan peralatan pengimbas dan kemudahan penguatkuasaan lain.
“Operasi risikan narkotik kita turut berjalan sepanjang masa, 365 hari setahun bagi mengesan kegiatan penyeludupan dadah,” katanya.
Saifuddin menolak dakwaan Malaysia sudah menjadi hab transit dadah antarabangsa. – UTUSAN











