PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) terus berusaha memastikan jumlah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak hadir menduduki peperiksaan itu akan berkurangan tahun demi tahun.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, pelbagai pendekatan telah digunakan pihaknya dan usaha itu mula membuahkan hasil apabila jumlah calon yang tidak hadir berjaya dikurangkan kepada kira-kira 2,000 orang pada tahun lalu.
Jumlah calon SPM dalam kalangan pelajar di bawah KPM itu adalah berbanding 6,000 orang pada tahun-tahun sebelum ini.
Beliau berkata, pendekatan bersasar seperti mengesan murid berisiko sejak tingkatan satu lagi antara langkah yang telah diambil pihaknya untuk tujuan berkenaan.
Menerusinya, KPM akan mengenal pasti punca dari awal termasuk pelajar yang berdepan masalah kemiskinan, keluarga dan keperluan mendapatkan sokongan motivasi.
Bagaimanapun jelas Mohd. Azam, pihaknya tidak akan meletakkan sasaran sifar ketidakhadiran kerana terdapat keadaan tertentu ia sukar dielakkan.
“Tahun ini nak kata kosong itu tak bolehlah. Tapi kita usaha yang terbaik. Kita cari anak-anak yang tak datang sekolah. Apa masalah dia, kalau kemiskinan kita usahakan apa cara untuk kita boleh bantu dia supaya boleh datang sekolah.
“Kita panggil Ziarah Cakna. Memang itu pun kita kena buat. Kita tak tahu anak kita tak datang sekolah, kita mungkin kata kes disiplin tetapi mereka ada cabaran,” katanya selepas menyantuni calon SPM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1), di sini semalam.
Kata Mohd. Azam, KPM turut menggunakan analisis data kehadiran murid sejak tingkatan satu dan tingkatan tiga bagi mengenal pasti mereka yang menunjukkan trend ketidakhadiran berulang.
Katanya, pelbagai faktor dikenal pasti yang menyumbang kepada data tidak hadir termasuk calon perempuan sudah kahwin dan nikah termasuk calon yang kemalangan serta calon yang baru kematian ahli keluarga.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPM turut mengambil langkah mengurangkan risiko calon tidak dapat hadir peperiksaan akibat bencana banjir dengan mengenal pasti kawasan yang sering terjejas berdasarkan rekod terdahulu.
Katanya, calon yang dikenal pasti berisiko akan ditempatkan lebih awal di pusat berhampiran yang mempunyai kemudahan asrama bagi memastikan mereka tidak terjejas ketika peperiksaan berlangsung.
“Kita sudah tahu kampung mana selalu banjir, jalan mana yang terputus untuk anak kita pergi sekolah.
“Anak itu kita dah ambil awal dah. Dudukkan dekat pusat yang ada asrama ataupun di sekolah yang ada asrama yang berdekatan dengan pusat supaya anak kita tidak terganggu,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Azam berkata, bermula tahun ini, buat pertama kalinya KPM menggabungkan pelaksanaan ujian mendengar dan ujian bertulis bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM.
Beliau berkata, penyelarasan itu dibuat bagi mengelakkan calon gagal memperoleh sijil akibat tidak hadir satu daripada komponen peperiksaan berkenaan.
Beliau berkata, pendekatan baharu itu membolehkan calon yang selesai menduduki ujian mendengar terus memasuki dewan bagi menjawab ujian bertulis pada hari yang sama.
“Langkah itu diambil berikutan terdapat calon yang hadir menduduki satu komponen peperiksaan tetapi tidak hadir bagi komponen lain sekali gus menjejaskan keputusan keseluruhan mata pelajaran berkenaan.
“Untuk kita sekalikan dengan ujian bertulis memang tahun ini kita mula. Supaya kita dapat pastikan anak kita lepas ujian mendengar dia terus masuk ujian bertulis,” katanya.
Katanya, sebelum ini terdapat calon yang mengambil mudah kehadiran bagi setiap komponen peperiksaan termasuk tidak hadir ujian mendengar atau ujian bertutur walaupun hadir bagi ujian bertulis.-UTUSAN.











